Sabtu, 27 Mei 2023 | 5:37pm

Ahli MKT tewas jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah, tewas pada pemilihan semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, yang diadakan hari ini.

Mohd Hairi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, tewas kepada pencabarnya, Datuk Yahya Jaafar, yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor.

Hairi meraih 260 undi manakala Yahya mendapat 296 undi daripada 556 perwakilan yang mengundi.

Yahya menggantikan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, selepas veteran parti itu melepaskan jawatan yang disandang lebih empat dekad.

Hairi menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor ketika ini.

Proses pengundian yang bermula jam 10 pagi tadi berjalan lancar dengan pengiraan undi dimulakan jam 11 pagi sebelum keputusan rasmi diumumkan kira-kira jam 3.45 petang.

Pada 1 April lalu, UMNO Johor dilaporkan akan mengambil alih pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan bahagian terbabit.

Pada 18 Mac lalu, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som.

Hairi Mad Shah (kanan) bersalaman dengan Datuk Yahya Jaafar yang memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru pada pemilihan semula, hari ini. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Hairi Mad Shah (kanan) bersalaman dengan Datuk Yahya Jaafar yang memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru pada pemilihan semula, hari ini. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X