KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya bahawa sebahagian dana Pilihan Raya Umum (PRU) dimiliki Perikatan Nasional (PN) yang juga parti Melayu dan Islam, diperoleh hasil syarikat perjudian.
Perdana Menteri menegaskan tidak akan membuat sebarang dakwaan tanpa asas.
"Sila baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tapi kalau dia (Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin) mahu bawa terus (kemuka tindakan saman), silakan.
"Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya tidak ada asas," katanya ditemui media selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilaporkan sedang berbincang dengan peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, Anwar pernah membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, siasatan berkenaan isu itu masih dijalankan oleh agensi bertanggungjawab bagi mengumpul bukti sebelum tindakan sesuai diambil.
"Sudah tentu, ia ada banyak agensi dan siasatan ini apabila ada bukti barulah diambil tindakan. Biarlah agensi itu jelaskan," katanya menjawab soalan sama ada siasatan berkait isu itu masih diteruskan.
Isu berkenaan berbangkit selepas Anwar ketika sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu, membayangkan sebahagian dana pilihan raya beberapa parti Melayu dan Islam datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.
Sementara itu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU ke-15 lalu.
Susulan kenyataan itu, pemimpin pembangkang bertali-arus mendesak Anwar membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.
Dalam pada itu, menjawab dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355, Anwar menempelak PAS yang disifatkan lupa membangkitkan hal itu ketika dalam kerajaan.
"Semasa jadi kerajaan dia lupa. Bila sudah jadi pembangkang, dia bangkit. Itu bukan Islam namanya, itu namanya politik murahan," katanya.
Semalam, Abdul Hadi mendakwa usaha PAS mahu merealisasikan pindaan RUU berkenaan mendapat tentangan daripada sebahagian UMNO dan Pakatan Harapan (PH).