Jumaat, 26 Mei 2023 | 6:35pm
Hamzah Zainudin. - Foto fail NSTP
Hamzah Zainudin. - Foto fail NSTP

'Jawapan Azalina sahkan PN difitnah, dakwaan dana judi hanya rekaan'

KUALA LUMPUR: Pengesahan mengatakan bahawa tiada bukti Perikatan Nasional (PN) menerima dana syarikat perjudian untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan kerajaan memfitnah gabungan pembangkang itu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pengesahan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat itu juga menunjukkan dakwaan terhadap PN yang dilemparkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hujung tahun lalu, hanya rekaan dan pembohongan.

Menyifatkan perbuatan Anwar itu sebagai 'kezaliman', Hamzah menggesa rakyat bertindak menghukum kerajaan pimpinan Anwar dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Pengesahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman bahawa tiada satu pun parti dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi pada PRU15 membuktikan kerajaan pimpinan Anwar melakukan fitnah.

"Jawapan bertulis Azalina di Dewan Rakyat bertarikh 25 Mei itu juga secara terang lagi bersuluh mengesahkan bahawa tuduhan Anwar ke atas PN pada 5 Disember 2022 dan diulanginya pada 6 Disember 2022, adalah rekaan serta pembohongan semata-mata.

"Kezaliman Anwar perlu dihukum secara menyeluruh oleh rakyat terutama dalam enam PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi dan PN sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas Anwar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Bagaimanapun, Azalina hari ini tampil memberi penjelasan lanjut mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Susulan jawapan bertulis itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan gabungan berkenaan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hamzah turut mendakwa pertuduhan ke atas beberapa pemimpin BERSATU dan PN, khususnya Muhyiddin, adalah kesinambungan siri pembohongan, fitnah serta konspirasi Kerajaan Perpaduan terhadap pembangkang.

"Dalam kes Muhyiddin, tindakan undang-undang diambil dengan memfailkan satu permohonan bagi membatalkan semua pertuduhan bersandarkan kepada dua asas.

"Pertama, pertuduhan predikat adalah cacat dan salah kerana tiada kesalahan seperti dipertuduhkan, dan kedua pertuduhan itu terlalu samar dan tidak jelas serta menyalahi peruntukan undang-undang berkenaan butiran yang wajib dalam kertas pertuduhan," katanya.

Berita Harian X