Jumaat, 26 Mei 2023 | 5:59pm
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) melancarkan buku Serahang Kakan Baney Kabo sempena perasmian Pavilion Sarawak Negeri Tamu di PBAKL 2023 di WCTKL. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) melancarkan buku Serahang Kakan Baney Kabo sempena perasmian Pavilion Sarawak Negeri Tamu di PBAKL 2023 di WCTKL. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI

PBAKL: 'Sasar 30 hingga 50 peratus pengunjung ke Pavilion Sarawak'

KUALA LUMPUR: Pustaka Negeri Sarawak meletak sasaran 30 hingga 50 peratus pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan ke Pavilion Sarawak bagi mengenali warisan negeri itu dengan lebih dekat.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Dr Rashidah Bolhassan, berkata kehadiran Sarawak sebagai negeri tamu PBAKL bertujuan mempromosi Bumi Kenyalang sebagai destinasi yang kaya dari segi ilmu, warisan, budaya dan makanan.

"Kita juga akan mempamer buku karya penulis dari Sarawak dan semua buku yang dipamerkan adalah berlandaskan apa yang ada di Sarawak," katanya.

Beliau ditemui BH selepas majlis pelancaran Pavilion Sarawak PBAKL yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Mohd Shamsul Baharin Isa dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron.

Rashidah berkata, penulis Sarawak digalak berdaftar dengan Pustaka Negeri Sarawak bagi mempromosi karya mereka.

"Kita sentiasa mengetengahkan usaha agensi di bawah kerajaan negeri Sarawak untuk memelihara kepelbagaian warisan budaya Sarawak.

"Contohnya songket Sarawak yang kurang diketahui ramai. Apa yang lebih dikenali ialah songket dari Kelantan dan Terengganu, uniknya songket Sarawak kita boleh pakai bahagian luar dan dalamnya," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim dalam ucapannya ketika berucap berkata, Sarawak mempunyai kepelbagaian lebih daripada 27 kumpulan etnik, 45 bahasa dan dialek, serta kepelbagaian budaya.

"Semangat kerjasama yang padu dan toleransi tinggi yang menjadi amalan rakyat Sarawak adalah aset yang boleh memanfaatkan Sarawak, Malaysia dan dunia.

"Justeru, buku dan maklumat mengenai Sarawak boleh dijadikan alat untuk mempromosi pelancongan ke Sarawak dan memperkayakan kandungan tempatan," katanya.

Berita Harian X