KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan beliau tidak menyatakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat judi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dihenti atau digugurkan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan jawapan yang diberikan kepada Dewan Rakyat bagi pihak SPRM semalam hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.
Katanya, SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali tentu sekali berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan seperti termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
"SPRM juga berhak membuka fail siasatan atas mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen pada PRU15.
"SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun agensi itu mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu," katanya.
Sehubungan itu, kata Azalina dalam jawapan bertulis itu tiada apa-apa fail siasatan dibuka.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Menjawab kenyataan Azalina, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya itu adalah fitnah dan tuduhan serius.
Justeru, beliau sedang berbincang dengan peguam berhubung tindakan seterusnya yang akan diambil.
Azalina menjelaskan, selain SPRM ada agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.
Katanya, undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung dengan hal itu mahupun membuat tuduhan tidak berasas terhadap perdana menteri.
"Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip 'rule of law' dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat," katanya.