Jumaat, 26 Mei 2023 | 3:34pm
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin. - Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffi
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin. - Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffi

PAS minta PM mohon maaf terbuka dakwaan kempen guna dana judi

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin menggesa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya sebelum ini mendakwa parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi semasa kempen PRU15.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata jawapan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi menjawab soalan bertulis di Parlimen membuktikan dakwaan itu tidak benar.

Katanya, dalam jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari itu, Azalina berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan mendapati tuduhan terlalu umum.

Bahkan dalam jawapan sama, SPRM menyatakan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan dilontarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

"Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat Perdana Menteri selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan Perdana Menteri.

"Kami menggesa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Azalina dalam jawapan bertulis itu berkata, siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa parti Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen PRU15.

SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan. Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

"Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Berita Harian X