Khamis, 25 Mei 2023 | 7:50pm
Tan Sri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tan Sri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

'Tiada unsur rasuah dalam dana parti kerajaan pada PRU15' - SPRM

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata SPRM telah menjalankan siasatan berhubung parti-parti terbabit yang mendapat pendanaan ketika PRU15.

"Siasatan kes telah pun selesai dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur-unsur penerimaan rasuah.

"Walau bagaimanapun, jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baharu berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini," katanya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana siasatan SPRM terhadap parti-parti dalam kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

Berita Harian X