Khamis, 25 Mei 2023 | 3:02pm

Ulama harus berani tegur kerajaan dengan ikhlas - PM

SHAH ALAM: Ulama harus berani menegur kerajaan dengan ikhlas demi mengangkat martabat umat dan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia mendengar teguran itu selagi ia dibuat dengan baik, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

"Ini tiada perbezaan pendapat, ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi supaya dapat diperbaiki dan itu ditekankan oleh ulama, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

"Apabila pimpinan (kerajaan) pula mendengar ulama bercakap dengan ikhlas, berani menegur dengan baik dan (kita sedia) terima dengan baik teguran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor hari ini.

Muzakarah itu dihadiri bekas Mufti Agung Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa di Yaman, Habib Umar bin Hafidz.

Anwar berkata, beliau yakin segala teguran itu mampu meletakkan negara di landasan yang baik sekali gus mengangkat martabat umat sejajar dengan cita-cita Madani.

"Ada hal yang kadang-kadang kita setuju tetapi mungkin tidak dilaksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita dan tahap kefahaman umat juga (menjadi) satu hal.

"Jadi kadang-kadang apa yang kita bicarakan itu ditafsirkan berbeza dan bukan kerana satu uslub (kaedah) dan ittijahat (aliran) dalam politik ini," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, isu mengenai kalimah Allah boleh dibahas secara tertutup tetapi tidak boleh sehingga ia mengelirukan umat.

"(Isu kalimah Allah) boleh bahas lagi dalam majlis tertutup tetapi tidak patut mengelirukan umat, tetapi kita masih dituduh sebagai menggadai dan mengkhianati amanah serta sebagainya.

"Saya nak bagi satu contoh bagaimana perkara ini boleh berlarutan sedangkan harus ditumpu perhatian mengangkat martabat umat melalui kefahaman Islam, akhlak dan nilai bersihkan negara ini daripada gejala yang merosakkan," katanya.

KPM diminta terbitkan semula Himpunan 40 Hadith Imam Nawawi

Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil ikhtiar menerbitkan semula himpunan 40 Hadith Imam Nawawi untuk diedarkan di sekolah seluruh negara.

Himpunan hadith terbabit dilihat mampu memberi perkembangan ilmu kepada murid serta pelajar khususnya beragama Islam.

"Cuma oleh kerana Prof Dr Ali Jum'ah (bekas Mufti Agung Mesir) menekankan mengenai 40 Hadith Imam Nawawi itu mungkin pihak JAKIM dan KPM, sebagai sambutan ialah untuk mengambil ikhtiar menerbitkan semula supaya dapat dikirimkan di semua sekolah.

"Ini dapat dipastikan pelajar (Islam) diberikan perkembangan ilmu dan mungkin dengan syarahan yang baik juga," katanya.

Anwar berkata, beliau melihat pengagihan himpunan hadis berupaya memberi kefahaman agama yang lebih baik, selain tidak menjadi sentimen, pertelagahan atau permusuhan sebaliknya mengangkat darjat dengan ihsan dan kasih sayang.

"Islam mesti ditegakkan dengan keyakinan dan ilmu, memahami, mendalami dan mengupas dengan sabar serta kasih sayang jadi sebab itu saya sambut (saranan Prof Dr Ali Jum'ah).

"Jadi cadangannya ialah kalau betul dengan kasih sayang, hormat sesama Islam, hormat manusia termasuk bukan Islam, jadi dia (Prof Dr Ali Jum'ah) kata lebih baik anak-anak muslim supaya dibekalkan dengan 40 hadis terbabit," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar, Amirudin Shari menerima al-Quran daripada Al Imam al Allamah Prof Dr Ali Jum'ah (kanan) dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa Tarim Yaman, Al Habib Umar Hafidz (kiri) pada majlis Muzakarah Ulama-Umara hari ini. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar, Amirudin Shari menerima al-Quran daripada Al Imam al Allamah Prof Dr Ali Jum'ah (kanan) dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa Tarim Yaman, Al Habib Umar Hafidz (kiri) pada majlis Muzakarah Ulama-Umara hari ini. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X