Khamis, 25 Mei 2023 | 2:41pm
Foto hiasan. - Reuters
Foto hiasan. - Reuters

Dua pengeluar dibenar jual gula putih jernih pada harga tidak dikawal

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk menjual gula putih bertapis jernih, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata permohonan itu diterima dan diluluskan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

"Biarpun pengguna kini mempunyai pilihan gula baharu di pasaran tetapi gula sedia ada (kasar dan halus) tetap dijual pada harga kawalan iaitu RM2.75 (kasar) dan RM2.85 (halus) sekilogram.

"Bagaimanapun kerajaan tidak mengawal harga gula putih bertapis jernih kerana harganya itu ditentukan pasaran.

"Keadaannya sama seperti penjualan petrol RON95 yang mempunyai kawalan harga, sementara RON97 ditentukan pasaran, sama seperti beras putih dan beras premium serta telur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Agensi 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha (KSU) KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof.

Pada majlis itu, empat kakitangan menerima Anugerah Khas KSU; 371 (APC) dan 74 penerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang.

Salahuddin berkata, permohonan itu adalah sebahagian daripada pelan pemasaran kedua syarikat utama berkenaan untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.

"Kerajaan bersetuju permohonan itu kerana gula putih bertapis jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).

"Kerajaan juga sudah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa 42,000 tan metrik sebulan yang mencukupi untuk pasaran runcit.

"Justeru penjualan gula putih bertapis halus tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada," katanya.

Beliau berkata, syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada yang mencukupi di pasaran.

"Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) kepada pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, Ops Manis diteruskan sebulan lagi berkuat kuasa hari ini.

"Operasi itu bertujuan bagi memastikan tiada manipulasi atau tindakan mengambil kesempatan yang membawa kepada kekurangan bekalan gula," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KPDN menggesa pengguna mengawasi dan mengawal penggunaan gula demi kesihatan mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

Berita Harian X