KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya memperoleh keuntungan RM46 juta hasil jualan enam aset runcitnya di Lembah Klang dan Johor.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata selain itu, KWSP juga bercadang untuk menjual satu lagi aset runcitnya di Kelana Jaya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Enam aset runcit yang telah dijual iaitu bangunan Giant Bandar Kinrara, bangunan Giant Putra Heights, bangunan Giant USJ, bangunan Giant Klang, bangunan Giant Ulu Klang dan bangunan Giant Plentong di Johor dengan keuntungan RM46 juta.
"Aset ini kita jual kepada Sunway Real Estate Investment Trust Berhad (Sunway REIT) yang 15.24 peratus dimiliki KWSP," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Kuala Terengganu) yang ingin mengetahui jumlah yang diperoleh daripada penjualan portfolio enam aset runcit KWSP di Lembah Klang dan Johor, dan adakah KWSP berhasrat melupuskan satu lagi aset runcit di Lembah Klang seperti dilaporkan selain perancangan pelaburan seterusnya.
Ketika menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham sama ada KWSP bercadang melabur dalam bidang teknologi kewangan atau FinTech yang mencapai status Unicorn, Ahmad berkata Jawatankuasa Pelaburan akan membuat kajian atas cadangan tersebut.
Sementara itu, Ahmad turut memaklumkan jumlah aset KWSP secara keseluruhan setakat ini adalah RM1 trilion yang membabitkan pelaburan hartanah dalam dan luar negara.
"Di dalam negara jumlah pelaburan adalah RM11 bilion, antaranya bangunan KWSP di ibu pejabat dan negeri, manakala hartanah KWSP luar negara berjumlah RM30 bilion dengan separuh daripadanya di United Kingdom dan antara yang terbesar Battersea, projek yang begitu ikonik menjadikan jumlah aset hartanah sebanyak RM41 bilion.
"Setakat ini kita cukup menjaga kesemua pelaburan ini," katanya sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui tentang peratus pelaburan KWSP di pasaran domestik.
Sementara itu, Ahmad menasihatkan supaya hanya pencarum KWSP yang benar-benar memerlukan dan mampu membuat pembayaran balik saja membuat pinjaman bank melalui program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2).
"Jika tiada keperluan, janganlah pinjam kerana wang KWSP ini masih boleh dikeluarkan untuk pendidikan, kesihatan, haji dan insurans tertentu.
"Untuk pinjaman peribadi itu, ia tidak dijamin di bawah KWSP. Kalau peminjam tidak bayar, mereka masih boleh disenarai hitamkan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kemungkinan pencarum KWSP yang berhutang dengan bank kreditor, yang tidak mampu membayar balik pinjaman terdedah kepada tindakan kebankrapan.
Beliau turut menegaskan, program FSA2 adalah program pembiayaan peribadi dan bukannya satu cagaran atau sandaran.
Menjawab soalan asal Hassan mengenai dakwaan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan tidak bersetuju untuk membayar pampasan kepada bank kreditor apabila pencarum KWSP gagal membayar balik pinjaman mereka, Ahmad berkata, perkata itu tidak benar.
"Tidak betul jika ada keperluan syarikat jaminan pembiayaan perniagaan yang tidak bersetuju kerana ia tidak berbangkit untuk mereka perlu bayar setiap bulan.
"Jika pembayaran tidak dibuat setiap bulan, pihak bank perlu menunggu usia mereka 50 atau 55 tahun dan barulah KWSP boleh membuat pembayaran," katanya. - BERNAMA