Rabu, 24 Mei 2023 | 11:01am
 Foto hiasan/BERNAMA
Foto hiasan/BERNAMA

MAFS tumpu pengeluaran komoditi asas jamin sekuriti bekalan makanan negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memberi tumpuan kepada pengeluaran komoditi asas, dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap sumber pertanian import sekali gus memastikan jaminan sekuriti bekalan makanan negara.

Timbalan Menteri, Chang Foong Hin, berkata bagi tujuan itu, pelbagai inisiatif dan strategi jangka pendek dan jangka panjang dilaksanakan secara menyeluruh.

"Pertama, perluasan penternakan secara fidlot dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan lembu pedaging untuk mencapai Nisbah Sara Diri (SSR) sebanyak 50 peratus pada 2030 seperti yang dinyatakan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).

"Selain itu, pelbagai strategi turut dirangka daripada aspek pengeluaran termasuk memantapkan pusat kuarantin swasta untuk menampung tambahan import lembu hidup serta mengenal pasti pemain industri yang berkebolehan tinggi untuk diperkembang ke satu tahap yang lebih baik," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu setakat ini berapa banyak jenis produk pertanian yang masih belum mencapai SSR dan langkah dilaksana bagi mencapai nisbah yang ideal dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada produk pertanian import.

Foong Hin turut berkata, dalam konteks sekuriti makanan, MAFS sentiasa memantau status bekalan lapan komoditi makanan utama negara termasuk beras, daging ayam, telur ayam, daging lembu, susu segar, sayur, buah dan ikan makanan (edible fish).

Beliau turut berkongsi kadar SSR yang dicatatkan bagi komoditi itu pada 2021, iaitu beras, pada kadar 65 peratus, daging ayam, 99.9 peratus, telur ayam, 114.4 peratus, daging lembu/kerbau (18.9), susu segar (56.7), sayuran (46.7), buah (77.4) dan ikan makanan (91.7).

Pada masa sama, jelasnya, MAFS turut memperkukuh industri input pertanian domestik secara bersasar untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang mempengaruhi kos pengeluaran dan kenaikan harga makanan.

"Pertama, menghasilkan pengeluaran jagung bijian sebanyak 600,000 tan yang dapat mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan sebanyak 30 peratus menjelang 2032. Ia dirangka melalui pengukuhan Program Pembangunan Jagung Bijian Negara.

"Kedua, membangunkan bahan makanan ternakan alternatif seperti lalat larva Black Soldier Fly (BSF) dan Palm Kernel Expeller (PKE), selain ketiga, memperkasa industri benih tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import input pertanian," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, sumber import masih diperlukan kerana terdapat komoditi makanan yang tidak dapat dihasilkan secara domestik.

Ini didorong oleh faktor tertentu seperti kesesuaian iklim, tidak ekonomik, kekangan sumber tanah dan tenaga kerja.

Berita Harian X