KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang mempersoalkan sejauh mana rakyat di negara ini memahami bahawa cubaan bunuh diri adalah satu daripada kesalahan jenayah.
Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, beliau percaya ketidakfahaman itu menyebabkan negara gagal untuk menurunkan kadar bunuh diri.
"Sejauh mana sebenarnya rakyat dalam negara kita faham atau mendapat maklumat bahawa cubaan bunuh diri ini salah satu kesalahan jenayah.
"Saya kira sebahagian besar daripada masyarakat di luar sana tidak memahami undang-undang kita dan akhirnya kita gagal untuk menurunkan kadar bunuh diri dalam negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata laporan media serta pihak polis mendapati kemurungan antara faktor utama bagaimana cubaan bunuh diri ini berlaku dalam negara ini.
"Yang cukup mengkhuatirkan apabila kita melihat daripada pelaporan itu bahawa kemurungan atau tingkah laku bunuh diri ini semakin meningkat dalam kalangan remaja kita berumur antara 13 hingga 17 tahun.
"Sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada masa depan mereka," katanya.
Beliau berkata, sekiranya seseorang dalam kelompok usia itu terbabit dalam cubaan bunuh diri dan menerima hukuman, ia akan menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan dan pekerjaan terjejas sekali gus memberikan kesan besar kepada mereka.
Justeru, katanya, untuk menghindari cubaan bunuh diri, ia bukanlah hanya sekadar membabitkan hukuman sebaliknya apa yang penting adalah penempatan bagi memberikan rawatan kepada mereka.
"Bagi orang Islam, mungkin pendekatan agama Islam itu sendiri sebagai rawatan untuk mereka pulih semula," katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan menyediakan pusat untuk memulih atau merawat pihak yang terbabit dalam cubaan bunuh diri ini.
"(Contohnya) kalau kita ada masalah dadah kita ada pusat serenti. Tetapi kalau ini (cubaan bunuh diri) boleh diadakan pusat pemulihan (untuk ini)...bermakna kita boleh membantu ramai masyarakat.
"Akhirnya matlamat mengurangkan tingkah laku bunuh diri dapat kita kurangkan," katanya.