KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2), di sini, hari ini.
Baginda yang melawat kompleks hospital di bawah KPJ Healthcare yang dibangunkan di atas tanah seluas 1.12 hektar dan mula beroperasi sejak 1 September lalu, turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Presiden serta Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif bin Mahmood, berkata pembinaan DSH2 adalah standard baharu dalam penjagaan klinikal dan menjadi penanda aras dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.
"Ini bukti komitmen kami untuk terus meningkatkan taraf penjagaan, selaras tujuan 'Care For Life' kami.
"Kami yakin dengan pelancaran ini, KPJ akan terus menerajui dalam memberikan perkhidmatan penjagaan terbaik yang diamanahkan oleh pemegang saham, pesakit dan pelanggan kami.
"Kami percaya dengan adanya DSH2 ini, ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami sebagai rangkaian hospital pakar swasta terbesar di negara ini, tetapi turut memperluaskan perkhidmatan ini kepada pesakit dan pelanggan antarabangsa," katanya pada Majlis Pelancaran DSH2.
Md Arif berkata, DSH2 bukan sahaja menggabungkan kuasa digital dan teknologi, bahkan turut mempunyai kakitangan, jururawat serta perunding terlatih dan berpengalaman, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan kesihatan tiada tandingan kepada pesakit di bawah seliaannya.
Sebanyak 300 katil disediakan untuk merawat pesakit di bangunan 11 tingkat itu, selain 10 unit rawatan rapi (ICU), tujuh dewan bedah, bilik endoskopi serta bilik rundingan.
DSH2 turut menyediakan rawatan khusus kepada pesakit yang mengalami masalah saraf, tulang belakang, otak, jantung, paru-paru, tulang sendi, pembedahan laparoskopik dan radiologi intervensi.