SEKADAR mengutip 34 emas berbanding 40 disasarkan, prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang berakhir Rabu lalu, dianggap yang terburuk dalam sejarah penyertaan negara pada temasya sukan dwitahunan diperkenalkan pada 1959 berkenaan.
Menamatkan cabaran di tempat ketujuh, kontinjen negara yang mengandungi 676 atlet sekadar berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja. Ikuti Penjelasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Datuk Dr Pekan Ramli.
Soalan (S): Apakah punca kemerosotan prestasi kontinjen negara?
Jawapan (J): Seperti dijelaskan selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang, Kontinjen Malaysia hilang 18 pingat emas, 16 pingat perak dan 30 pingat gangsa atau 66 pingat keseluruhan apabila sukan atau acara dimenangi di Vietnam tidak dipertandingkan di Kemboja. Pada masa sama, beberapa sukan tidak popular di Malaysia dipertandingkan yang menawarkan 93 pingat emas, Dari awal lagi, kita hanya berpeluang untuk memenangi 59 peratus daripada semua pingat ditawarkan kerana hanya menyertai 340 acara. Itu sebab kita sasarkan 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa atau 141 pingat keseluruhan.
Di Kemboja, kita menang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa. Ini bermakna daripada 141 pingat keseluruhan, 41 peratus disasarkan dan menang 175 pingat atau 51 peratus daripada 340 acara disertai. Atlet negara juga berjaya catat satu rekod temasya melalui olahraga dan tujuh rekod kebangsaan diperbaharui melalui renang akuatik, olahraga dan angkat berat. Seramai 21 atlet perbaharui catatan terbaik melalui sukan renang akuatik, olahraga dan angkat berat. Untuk Sukan SEA, strategi kita adalah beri peluang atlet pertama kali sertai untuk pendedahan. Daripada 677 atlet, 65 peratus atau 440 adalah atlet kali pertama menyertai temasya sukan ini.
S: Ada dakwaan negara kekurangan atlet pengganti hebat untuk bawa cabaran di Kemboja?
J: Untuk temasya kali ini, seramai 222 atlet muda bawah umur 23 tahun menyumbang 111 pingat daripada 175 keseluruhan pingat dimenangi kontinjen negara. Bagi kategori atlet kali pertama bertanding, 211 menyumbang 78 pingat daripada 175 pingat dimenangi. Antara kejayaan atlet muda pertama kali menyertai Sukan SEA ialah Umar Osman, berumur 20 tahun memecahkan rekod kebangsaan 22 tahun dalam acara 400 meter lelaki.
Atlet golf berumur 15 tahun, Ng Jing Xuen pamer prestasi sangat memberangsangkan apabila menang emas dalam acara individu mengalahkan pemain Thailand, pemenang Kejohanan Amatur Pasifik. Penerjun muda negara, Lee Yiat Qing, 15, pamer terjunan menarik seterusnya merangkul emas pada penampilan sulungnya. Dalam pencak silat, tiga emas disumbangkan atlet pertama kali menyertai Sukan SEA, Muhammad Izzul Irfan, pasangan kembar Muhammad Danial Azray dan Azrol serta Norsyakirah Muksin.
S: Adakah gagal capai sasaran emas petanda persatuan sukan gagal rangka strategi membangunkan atlet pelapis?
J: Pembangunan atlet pelapis dilakukan secara berterusan menerusi program latihan sepenuh masa, iaitu Pelapis Kebangsaan dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA). Di negeri, Majlis Sukan Negeri mengenal pasti dan membimbing atlet muda menerusi Program Pelapis Negeri dibantu MSN. Pendirian bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), MSN serta Institut Sukan Negara (ISN) dan NSA untuk menghantar sejumlah besar atlet muda dikenal pasti daripada pelbagai kejohanan peringkat umur seperti Sukan Malaysia (SUKMA) ke Temasya Sukan SEA kali ini, antara strategi memberi mereka pendedahan supaya pembangunan atlet pelapis secara berterusan dapat dilaksanakan.
KBS juga bersama-sama MOM merancang kertas Kabinet untuk melihat daripada segi peruntukan disediakan untuk sukan. Selain itu, penstrukturan semula sukan yang menuntut kerjasama pemegang taruh penting lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). KBS mengakui pentingnya pembangunan sukan pada peringkat sekolah kerana kita lihat atlet kali pertama sudah berusia 15 tahun, bermaksud pembabitan mereka bermula pada peringkat sekolah. Ini sangat penting kerana strategi sama juga diamalkan negara lain seperti Vietnam dan Singapura.
S: Acara renang, olahraga lubuk emas kita, namun kutipan pingat sangat mengecewakan?
J: Seperti dinyatakan, kita akan meminta dua persatuan sukan ini untuk membuat 'post-mortem' dan menghantar perancangan jangka sederhana dan jangka panjang kepada KBS. MOM sebelum ini sudah memberi peringatan kepada kedua-duanya dan kita belum dapat menyaksikan perubahan ketara. Sehubungan itu, kita akan pantau dengan rapi perancangan yang mereka akan kemukakan supaya matlamat untuk meraih lebih banyak pingat emas menerusi dua sukan ini pada temasya sukan akan datang dapat direalisasikan.
S: Wajarkah kepemimpinan persatuan sukan dirombak supaya program melahirkan atlet pelapis lebih berdaya maju?
J: Prestasi Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA kali ini sepatutnya menjadi 'wake up call' kepada semua NSA supaya mereka memainkan peranan lebih berkesan untuk membangunkan sukan masing-masing. Semua pemimpin NSA perlu memiliki kemampuan mengemudi persatuan masing-masing, termasuk menghasilkan perancangan mantap, bukan sahaja untuk melahirkan atlet pelapis lebih berdaya maju, tetapi juga memiliki perancangan memenangi pingat pada pelbagai peringkat pertandingan. Menjadi tanggungjawab semua persatuan sukan menjalankan reformasi dalam persatuan sukan kebangsaan untuk sama-sama membina atlet kita.
S: Ada maklum balas menyatakan Sukan SEA seperti 'pentas sarkis' kerana banyak acara sukan tradisi negara tuan rumah dipertandingkan?
J: Persekutuan Sukan SEA (SEASGF) dalam mesyuarat baru-baru ini, memutuskan supaya jenis sukan dipertandingkan untuk Temasya Sukan SEA bagi tiga edisi seterusnya menyenaraikan jenis sukan standard dipertandingkan di Sukan Asia dan Olimpik. Ia bermakna Sukan SEA 2025 di Thailand, Sukan SEA 2027 di Malaysia dan Sukan SEA 2029 di Singapura akan senaraikan sukan utama. Penyenaraian sukan tradisi dihadkan kepada sejumlah kecil bagi mengelak situasi seperti di Kemboja berulang. Untuk tiga temasya Sukan SEA seterusnya, jenis sukan wajib ialah olahraga dan renang. Penganjur perlu senaraikan sejumlah jenis sukan dipertandingkan, sama ada di Olimpik atau Sukan Asia. Bagi sukan tradisi, maksimum empat sahaja akan dipertandingkan.
S: Perlukah KBS pertimbang rangka Kertas Putih Sukan untuk rombak industri sukan negara?
J: Apa diperlukan ketika ini ialah peranan semua pihak untuk memastikan pembangunan sukan secara menyeluruh. MSN akan minta semua persatuan sukan terbabit dalam Sukan SEA untuk buat 'post-mortem' dan hantar maklum balas kepada MSN mengenai pelan jangka sederhana dan jangka panjang mereka. Semua perancangan itu diperhalusi secara bersama semua pemegang taruh utama, termasuk perancangan penyediaan atlet ke Sukan SEA Thailand 2025. Apa yang penting ialah perlunya penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) jelas supaya atlet dan jurulatih tahu sasaran perlu mereka tunaikan. KBS juga arah MSN dan ISN pantau semua KPI ini secara berkala demi memastikan pelaksanaannya berlangsung dengan berkesan.
Program pembangunan atlet pelapis perlu diberikan tumpuan
Soalan (S): Prestasi buruk Malaysia di Vietnam berterusan pula di Kemboja. Pandangan Datuk?
Jawapan (J): Selepas pencapaian dianggap buruk pada Sukan Sea Vietnam 2021, walaupun kontinjen Malaysia melepasi sasaran 36 pingat emas apabila mendapat 39 pingat emas di Hanoi, kedudukan keseluruhan di tempat keenam, di bawah negara jiran, Singapura. Bersandarkan beberapa fakta termasuk jumlah acara bertambah dan jumlah pingat emas begitu banyak ditawarkan berbanding kedudukan tempat keenam sewaktu Sukan SEA Singapura pada 1983 dengan 16 pingat emas, pencapaian di Vietnam dianggap terburuk bagi kontinjen Malaysia.
Kita jangkakan selepas Vietnam, sudah timbul kesedaran semua pihak dan pemegang taruh untuk tebus aib itu, malangnya walaupun ada setahun untuk siapkan kontinjen ke Kemboja, banyak pasukan tidak buat persiapan awal, bahkan ala kadar sahaja dan tak serius untuk ke Kemboja. Banyak NSA lambat pilih atlet kerana kurang kejohanan disertai. Sehingga November dan Disember 2022, masih ada pasukan belum miliki calon atlet untuk ke Sukan SEA Kemboja. Ditambah pula sikap acuh tak acuh pengurusan sukan negara, anggap Sukan SEA tidak begitu penting dan hanya sesuai hantar atlet muda. Dasar ini tersilap, strategi yang akhirnya makan diri.
S: Datuk setuju negara kekurangan atlet pengganti hebat untuk membawa cabaran negara?
J: Ya, saya sangat bersetuju. Apakah kita dapat pengganti yang boleh diharapkan untuk ganti jaguh sukan negara, contohnya Datuk Lee Chong Wei? Mungkin ada, tapi belum menonjol seperti kita harapkan, lebih banyak kontroversi daripada peningkatan prestasi. Sudah adakah pengganti ratu squasy, Datuk Nicol Ann David? Sudahkah kita ada pengganti sebenar ratu boling, Datuk Shalin Zulkifli? Ya mungkin ada, kadang-kadang pengganti itu nampak seperti sudah ada, tapi akhirnya 'tidak sempat bersinar, sudah bertukar kelam'.
Kesilapan kita adalah pada waktu kita memiliki bintang, bintang itulah kita gilap setiap hari selagi sinarnya masih mampu memberi kita cahaya terang sehingga kita lupa untuk gilap bintang baharu. Kadang-kadang bintang baharu hendak bersinar juga dianaktirikan hingga pudar dengan sendirinya. Pada saat bintang kesayangan kita mulai kelam dan hilang cahaya, barulah kita sedar dan tercari-cari penggantinya yang sudah tiada lagi.
S: Adakah ini ada kaitan kegagalan persatuan sukan rangka strategi membangunkan atlet pelapis?
J: Banyak persatuan sukan kita tidak beri tumpuan membangunkan atlet pelapis. Mungkin kerana mereka tidak cukup peruntukan untuk tampung program latihan berterusan. Akhirnya, tugas membangunkan atlet pelapis dibiarkan kepada persatuan sukan negeri, khususnya untuk penyertaan di SUKMA. Lebih bernasib baik jika atlet mereka terpilih dalam atlet pelapis kebangsaan di bawah MSN. Kita lihat tidak banyak kejohanan peringkat remaja kebangsaan ketika ini kecuali membabitkan kejohanan peringkat sekolah.
S: Apa punca kita hilang banyak emas dalam olahraga dan renang di Kemboja?
J: Kita sudah lama bercakap mengenai acara sukan yang jadi 'lubuk emas', khususnya olahraga dan renang. Lubuk emas sebab olahraga biasanya tawarkan lebih 40 pingat emas, juga renang. Berapa pingat emas kita dapat dalam olahraga? Cuma lima, berbelas-belas pingat emas diperoleh Thailand dan Vietnam. Berapa pingat emas kita dapat dalam acara renang? Satu sahaja dan ini sama seperti di Vietnam. Bayangkan jiran kita Singapura memukat 22 emas dari kolam renang, satu acara sahaja, negara jiran kita boleh goyang kaki. Dulu dua sukan ini kita bernafas lega kerana boleh menyumbang paling tidak 10 hingga 20 emas. Sekarang sungguh menyeksakan. Puncanya kena tanya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Renang Malaysia (PRM), presidennya pun masih orang sama.
Duit diperuntukkan pun, khususnya untuk PRM dikhabarkan berjuta-juta ringgit, tetapi program tiada, bahkan kejohanan renang peringkat kebangsaan pun senyap sahaja. Kelab renang pula tidak banyak, tak sehebat seperti di Singapura. Mungkin terlalu sibuk dengan sukan terjun yang kini dipuja seperti anak kesayangan. Sukan olahraga pula tiada program pembangunan tersusun dan berkesinambungan. Maka, kita perlu lebih banyak program cari bakat, wujudkan kelab atlet di seluruh negara serta pertandingan mini secara konsisten.
S: Perlukah kepemimpinan persatuan sukan dirombak supaya program melahirkan atlet pelapis lebih berdaya maju, patutkah orang politik dibenarkan terajui persatuan?
J: Perlu dirombak besar-besaran, pilihlah peneraju dalam kalangan mereka yang 'passionate' dengan sukan. Lebih baik diterajui bekas ahli sukan yang lebih faham kepentingan program atlet pelapis sebagai suatu kesinambungan bakat yang sangat penting. Tidak semestinya persatuan sukan diterajui orang politik jadi antara punca kelemahan program pembangunan bakat atlet negara. Namun sekiranya ada pilihan lain lebih baik, persatuan sukan perlu diterajui orang sukan. Kalau orang politik berminat membantu, lebih afdal jika mereka dilantik sebagai penaung atau penasihat sahaja.
Kita tidak nafikan ada ahli politik atau sesiapa sahaja mampu menerajui persatuan sukan, ada yang bagus hingga mampu melahirkan atlet negara cemerlang. Namun, kita bimbang jika orang politik menerajui persatuan sukan, ahli majlis dan ahli gabungannya turut terbabit permainan politik dalam sukan. Pernah berlaku kekecohan dalam sebuah persatuan sukan kebangsaan selepas perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Jika berlaku isu politik dalam sukan ini, akhirnya tanggungjawab untuk pembangunan atlet itu terabai.
S: Pandangan Datuk apabila negara penganjur lebihkan sukan tradisi pada Sukan SEA?
J: Memang status Sukan SEA sekarang ini sudah bertukar jadi atau semacam pentas sarkis. Paling teruk apabila Kemboja jadi tuan rumah, kita panggil acara itu sukan tradisi atau sukan pelik. Trend ini sudah lama, tetapi sekarang makin teruk. Siapa jadi tuan rumah, akan selitkan acara mereka pandai atau kuat. Semuanya gara-gara untuk bolot pingat emas, tetapi amalan ini sebenarnya semua negara buat. Mungkin tidak perlu merungut sangat, cuma amalan ini tidak sihat dan tidak memberi faedah kepada kualiti sukan di Asia Tenggara. Ia seperti 'deposit tetap' pingat emas kepada siapa sahaja yang jadi tuan rumah. Apa pun, saya melihat pentas sarkis ini sudah mula buka mata semua negara serantau dan SEAGF.
S: Perlukah KBS rangka, bentang Kertas Putih Sukan untuk rombak program sukan negara?
J: Memang KBS perlu buat audit forensik pencapaian kontinjen negara di Kemboja, bukan sekadar 'post-mortem', tetapi lebih daripada itu. Semak kembali peranan setiap NSA. Adakah strukturnya kemas dan dikelolakan secara profesional, adakah kedudukan kewangannya kukuh, pusat latihan dilengkapi fasiliti lengkap dan spesifikasi ikut piawaian antarabangsa. Bagaimana pula program pembangunan bakat atau akar umbi? Adakah persatuan sukan ada program pembangunan sukan komprehensif? Adakah ada kaedah kejurulatihan serta jurulatih layak dan terbaik? Adakah mereka terbabit menganjur dan hantar atlet sertai kejohanan kompetitif? Pembentangan Kertas Putih Sukan sangat-sangat dialu-alukan, tapi jangan ala kadar saja.