SHAH ALAM: Universiti di negara ini perlu menyediakan infrastruktur pembelajaran moden dan berteknologi tinggi bagi membolehkan institusi itu melatih dan mendidik warganya supaya menjadi lebih kompetitif di peringkat global.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, bertitah keperluan inisiatif itu penting bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti berkenaan.
"Ini bagi memastikan staf dan pelajar mempunyai kepakaran yang cukup, mempunyai akses kepada sumber pembelajaran terkini dan memastikan pelajar diberikan sokongan untuk memahami kandungan pengajaran dengan baik.
"Universiti juga perlu melaksanakan program persediaan supaya pelajar dapat bersaing di peringkat global antaranya program persediaan yang mencakupi aspek bahasa, kebudayaan dan kepakaran teknikal.
"Dengan lambakan maklumat pada hari ini dari pelbagai saluran media, kemampuan dan kemahiran menganalisis data dengan menggunakan aplikasi dan sebarang tindakan dalam membuat keputusan juga menyelesaikan masalah adalah 'sharp skills' yang perlu dikuasai warga universiti," titah baginda.
Demikian titah baginda selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewakili Tuanku Canselor UiTM, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Pada hari pertama istiadat itu hari ini, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah kepada 111 graduan.
Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, dalam konteks meningkatkan ketampakan modal insan negara pula, kurikulum universiti harus diguna selaras dengan keadaan dan permintaan semasa yang mana permintaan perlu datang daripada pemegang taruh.
"Universiti harus menyediakan kursus-kursus bertaraf antarabangsa dan mendapat pengiktirafan di peringkat global agar mampu menyelesaikan isu dalam pelbagai perspektif.
"Bagi membina masa depan anak-anak, sebanyak 23 program mendapat perakuan akreditasi sementara.
"Secara keseluruhannya, program program Pengajian UiTM yang mendapat pengiktirafan akreditasi penuh dan disenaraikan didaftar kelayakan Malaysia hingga Disember 2022 meningkat kepada 522 program.
"Program berkualiti ini penting dalam memastikan peningkatan kemahiran bumiputera professional di negara ini," katanya.
Secara keseluruhan, Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96 yang bermula hari ini sehingga 3 Jun depan menyaksikan 24,713 graduan menerima penganugerahan ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil profesional dalam bidang masing-masing.
Jumlah itu membabitkan 111 Ijazah Doktor Falsafah, 1,036 Ijazah Sarjana, 55 Diploma Lepasan Ijazah, 15,532 Ijazah Sarjana Muda, 40 Profesional, dan 7,939 Diploma.