Sabtu, 20 Mei 2023 | 6:00pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto NSTP
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto NSTP

Pembangkang tidak kemukakan usul undi tidak percaya kepada PM

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri untuk sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin ini.

Perkara itu disahkan oleh Pejabat Ketua Pembangkang, yang memaklumkan tiada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mengemukakan usul itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Tiada, tiada (usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dikemukakan)...setakat ini tiada (perancangan)," katanya ringkas kepada BH, hari ini.

Perkembangan itu menyaksikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak berdepan 'ujian keabsahan' sepanjang sesi Dewan Rakyat kali ini.

Situasi itu juga secara tidak langsung menamatkan spekulasi mengatakan jumlah sokongan dua pertiga kepada Perdana Menteri semakin berkurangan.

Sebelum ini, Anwar beberapa kali mencabar pembangkang supaya membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen bulan ini, sekiranya mereka yakin mempunyai jumlah sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen.

Cabaran itu dilontarkan susulan spekulasi mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen kepadanya menjadi polemik, selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na'aman, memberi bayangan mengenai gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Polemik itu tercetus selepas Muhammad Faiz memuat naik angka 126 di Facebook miliknya.

Pada 19 Disember tahun lalu, usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang menjadi agenda pertama dalam sidang Dewan Rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan, menyaksikan Anwar memperoleh sokongan 148 Ahli Parlimen.

Ia sekali gus menyaksikan Anwar menjadi Perdana Menteri pertama dalam tempoh 14 tahun yang berjaya mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan sejak 2008.

Berita Harian X