Sabtu, 20 Mei 2023 | 4:05pm
Anggota bomba mengusung jenazah Mohd Syazmer di Lata Berangin, Kuala Krai. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba mengusung jenazah Mohd Syazmer di Lata Berangin, Kuala Krai. - Foto ihsan Bomba

Maut kepala terhentak di batu selepas aksi terjun

KOTA BHARU: Keriangan berkelah beramai-ramai bertukar tragedi apabila seorang daripada ahli keluarga maut selepas kepalanya terhentak ke batu ketika terjun dari ketinggian kira-kira tiga meter di Lata Berangin, Kuala Krai, petang semalam.

Nahas jam 2.30 petang menyebabkan Mohd Syazmer Mohd Rodi, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kepalanya terhentak batu sebelum tenggelam.

Kakak iparnya, Mazlinda Leo Azaman, 33, berkata mereka ke lokasi peranginan itu bersama ahli keluarga dengan menaiki tiga kereta dan bertolak jam 8.30 pagi.

"Selepas solat Jumaat, kami turun untuk mandi-manda dan Syazmer berulang kali melakukan aksi terjun. Saya bersama isterinya berada berhampiran dan boleh melihat Syazmer dan beberapa pengunjung melakukan aksi sama.

"Tak lama kemudian, kami dengar keadaan kelam kabut. Saya mula tak sedap hati sebab sebelum itu Syazmer terjun.

"Kami bergegas ke tempat kejadian dan seorang pengunjung memberitahu ada orang kemalangan manakala darah mula kelihatan di air," katanya ditemui di Kampung Sokor, Kok Lanas, di sini, hari ini.

Mohd Syazmer bersama isteri dan anak-anaknya pada Aidilfitri lalu. - NSTP/Rohana Idris
Mohd Syazmer bersama isteri dan anak-anaknya pada Aidilfitri lalu. - NSTP/Rohana Idris

Mazlinda berkata, beberapa pengunjung membantu mencari adik iparnya yang tenggelam dan selepas 25 minit, mangsa ditemukan di celah batu di dasar air.

Sebaik dibawa ke darat, beliau cuba menekan dada mangsa untuk memberi bantuan pernafasan sebelum tersedar kepala mangsa luka, dipercayai terhentak batu.

"Tidak lama kemudian bomba dan pegawai perubatan tiba sebelum mengesahkan Syazmer sudah meninggal dunia. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai," katanya.

Mangsa yang juga bapa kepada empat cahaya mata berusia lima hingga 11 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sokor, Kok Lanas jam 3 pagi tadi.

Sementara itu, isterinya, Shaidatul Hasmira Leo Azaman, 31, berkata suaminya amat teruja mendiami rumah baharu mereka sejak dua bulan lalu.

"Kami baru dua bulan tinggal di Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan suami sangat seronok.

"Dia juga kerap meminta saya merakam gambarnya sama ada dalam atau luar rumah dengan alasan untuk dijadikan kenangan, ...kini baru saya faham maksudnya," katanya.

Berita Harian X