KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet minggu depan akan memutuskan kementerian mana diberi tanggungjawab mengurus isu berkait penguatkuasaan dan mempersembahkan cadangan kerajaan bagi menguatkuasa undang-undang berkaitan kalimah Allah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata seperti yang dinyatakan sebelum ini, perkara ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet terlebih dahulu.
"Kabinet yang akan memutuskan kementerian mana yang diberikan tanggungjawab dan dimaklumkan selepas itu," katanya kepada BH, hari ini.
Ketika ditemui pemberita selepas Majlis Aidilfitri Rahmah MADANI Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Bersama Insan Istimewa di sini kemudian, beliau berkata, segala butiran, akta serta penguatkuasaan berkaitan isu penggunaan kalimah Allah akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
"Insya-Allah butiran lanjut kita akan bincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang, selepas mesyuarat itu barulah ada keputusannya.
"Malah kita juga akan melihat fatwa sedia ada terutama berkaitan penguatkuasaan akta atau enakmen berkaitan dengan (penyebaran) agama lain kepada mereka yang beragama Islam dapat diperkukuhkan," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada diberi tanggungjawab untuk menguruskan cadangan yang bakal dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.
Pada Rabu lalu, Anwar mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu kalimah 'Allah' secara menyeluruh dan bersepadu.
Katanya, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.
Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Kabinet masih belum memutuskan pihak mana yang akan menyediakan draf kawal selia mengenai penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah.
"Kalau dari segi akta yang menjadi punca kuasa iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, akta itu di bawah kawal selia KDN. Namun, siapa yang akan sepatutnya sediakan rencana komprensif itu akan ditentukan oleh Kabinet kelak," katanya.
Mohd Na'im menjelaskan koordinasi dengan mana-mana kementerian berhubung isu itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet terlebih dulu dan akan dimaklumkan perinciannya nanti.
Mengenai sama ada akan diadakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) isu kalimah Allah itu, katanya perkara itu juga akan diperincikan selepas mesyuarat Kabinet.
"Apa pun Jemaah Menteri sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja dan perkara itu adalah tertib dan lunas yang sebaiknya," katanya.
Ditanya sama ada terdapat mesyuarat khas di antara kementeriannya dengan KDN mengenai isu kalimah Allah, Mohd Na'im menjelaskan, beliau sentiasa berhubung dengan Menteri Dalam Negeri.