KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 tetamu hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Media Prima Berhad (MPB) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Majlis bermula jam 4 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali berkata ini adalah kali pertama pihaknya mengadakan rumah terbuka seperti itu dalam tempoh empat tahun susulan pandemik COVID-19 sebelum ini.
"Biasanya kita akan adakan rumah terbuka dengan rakan kongsi MPB dan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan perniagaan dengan MPB.
"Saya gembira kerana hari ini kita dapat merapatkan hubungan silaturahim dengan rakan kongsi MPB. Perkara yang paling menarik hari ini adalah kita dapat bersua kembali dengan kenalan lama dan rakan kongsi dalam persekitaran yang lebih santai.
"Sebelum ini kita berjumpa di pejabat dan juga ketika bermesyuarat. Inilah perkara yang baik berkenaan rumah terbuka ini. Ia adalah satu wadah untuk kami semua beramah mesra," katanya ketika ditemui.
Hadir sama Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Karim.