KAJANG: Undang-undang baharu berkaitan penagihan dadah yang dinamakan Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) akan membolehkan penagih hasil daun ketum diberikan rawatan pemulihan.
Ketua Pengarah AADK, Suketno Ahmad Belon berkata, agensi itu lebih memberi fokus kepada memperoleh akses rawatan kepada golongan penagih ketum dalam pindaan berkenaan.
"Sebelum 2020 lagi, kita sudah sedia dan bagi input kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan fokus kita kini adalah akses bagi merawat penagih termasuk individu menagih ketum yang sebelum ini kita tidak ada akses.
"Jika dengan adanya RUU ini, maknanya siapa yang menagih ketum akan diseranaikan di bawah jadual dalam akta berkenaan.
"Perkara itu membolehkan kita merawat dan memulihkan mereka yang ketagih dengan ketum dan itu antara perkara-perkara yang kita akan lihat," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat AADK, di sini, hari ini.
"Sementara itu, untuk isu ketum pula semua pihak fokuskan ialah undang-undangnya dan diletakkan di bawah akta racun.
"Jadi pada masa ini akta racun mengawal selia pemilikan terhadap penyalahgunaan yang ada dan akan dikawal dalam akta berkenaan," katanya.
Katanya, jika dengan adanya undang-undang baharu berkenaan, sesiapa yang menagih ketum akan disenaraikan di bawah jadual dan secara tidak langsung AADK boleh memberi akses rawat dan pulih kepada mereka yang ketagih.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saiffuddin Nasution dijangka membentangkan rang undang-undang berkaitan pada tahun ini.