Khamis, 18 Mei 2023 | 9:29pm
Takiyuddin (kanan) bersama Annuar Musa. - Foto fail BERNAMA
Takiyuddin (kanan) bersama Annuar Musa. - Foto fail BERNAMA

Annuar Musa, lebih 10 bekas pemimpin UMNO sudah isi borang mohon sertai PAS - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Tan Sri Annuar Musa antara lebih 10 bekas pemimpin UMNO sudah mengisi borang permohonan menyertai PAS.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS turut memaklumkan, pengumuman rasmi mengenai penyertaan bekas Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO bersama bekas pemimpin UMN0 lain, akan dibuat hujung bulan ini.

Pada 1 Mei lalu, Takiyuddin mengesahkan bekas Annuar sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai PAS, menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN.

Mengenai bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau berkata, bekas Menteri Kesihatan itu diberikan tawaran istimewa oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai BERSATU.

"Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk buat pengumuman sahaja, insya-Allah akhir bulan ini. Saya juga boleh sahkan Tan Sri Annuar sudah isi borang untuk menyertai PAS.

"Kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat bersama rakan-rakan dalam UMNO (penyertaan Annuar dan bekas pemimpin UMNO lain)," katanya seperti dilaporkan beberapa portal berita, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu yang ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya di Kota Bharu, juga dipetik berkata, bekas pimpinan UMNO terbabit akan turut dipertimbangkan tempat jika berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Rabu lalu, Muhyiddin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

Bagaimanapun, Khairy yang masih tidak mempunyai parti selepas dipecat UMNO, dilihat lebih selesa 'menutup mulut' mengenai masa depan politiknya walaupun sudah ditawarkan menyertai BERSATU.

Mengenai isu kalimah Allah, Takiyuddin yang juga Ketua WHIP Parlimen PN, berkata gabungan itu akan membawa usul berhubung isu berkenaan pada persidangan Parlimen akan datang.

"Isu membabitkan kalimah Allah sepatutnya dibawa ke Mahkamah Syariah kerana ia bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil," katanya.

Berita Harian X