Khamis, 18 Mei 2023 | 12:38pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Empat lagi pengarah syarikat ditahan Ops Hire 2.0

KUALA LUMPUR: Empat lagi pengarah dan pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Hire 2.0, membabitkan kes tuntutan palsu dana di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, reman ke atas suspek dilaksanakan pagi ini.

Sehingga kini, BH difahamkan jumlah keseluruhan mereka yang diberkas adalah seramai 63 orang, membabitkan 41 lelaki dan 18 wanita.

Kelmarin, SPRM menahan reman 47 pengarah syarikat di beberapa negeri membabitkan kes berkenaan.

Setakat ini, jumlah tuntutan palsu berkaitan program insentif pengambilan pekerja dan program latihan melebihi RM63 juta.

Di Shah Alam, seorang daripada suspek, lelaki berusia 45 tahun dibenarkan ditahan reman dua hari bermula hari ini oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Lelaki terbabit dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM370,000 sekitar 2020 sehingga 2021.

Menurut sumber, suspek ditahan di Pejabat SPRM Selangor, jam 1 tengah hari semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X