Khamis, 18 Mei 2023 | 12:28pm

'Saya tak dengar ahli UMNO tunjuk protes, keluar parti' - Loke

SEREMBAN: Pemimpin DAP menegaskan tidak mendengar sebarang protes daripada ahli UMNO atau khabar yang mereka akan keluar parti susulan lokasi himpunan keramat orang Melayu, dimasuki dan `ditawan' ahli parti itu, Ahad lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata kehadiran pemimpin DAP, termasuk dirinya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Ahad lalu, adalah atas kapasiti sebagai seorang pemimpin Kerajaan Perpaduan.

"Saya tak dengar pun ada ahli parti itu (UMNO) tunjuk protes (keluar parti). Itu hak masing-masing, saya tak tahu, sama ada mereka nak protes atau sebaliknya, itu terpulang.

"Pada hari itu, seperti yang kita nyatakan dengan jelas, kita bukan membawa topik parti kita, tapi perhimpunan Kerajaan Perpaduan, Ahad lalu itu adalah satu himpunan yang merangkumi semua kekuatan dalam kerajaan.

"Sebab itu kita tidak pakai uniform (pakaian seragam) parti masing-masing. Semuanya berbaju putih untuk menunjukkan kesatuan dan masing-masing hadir dengan satu semangat bahawa kita hendak mendukung Kerajaan Perpaduan, tanpa melihat topik politik masing-masing.

"(Walaupun) saya hadir sebagai Setiausaha Agong DAP, saya berucap sebagai seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong; Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat DAP, merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta pemimpin DAP negeri.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban, mengulas dakwaan bahawa kemungkinan ramai ahli UMNO akan bertindak keluar parti, susulan kononnya Dewan Merdeka, dimasuki serta 'ditawan' pemimpin serta ahli DAP, Ahad lalu.

Baru-baru ini, Presiden Muafakat Nasional (MN), yang juga bekas pemimpin kanan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dilapor meramalkan UMNO akan terus ditolak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia selepas WTCKL, sebelum ini dikenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang menjadi lokasi himpunan keramat orang Melayu, dimasuki pemimpin dan ahli DAP pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023, Ahad lalu.

Annuar dilaporkan berkata, kehadiran puak sosialis, liberalis DAP ke PWTC pada hari berkenaan akan mendorong jutaan rakyat, termasuk ahli UMNO meninggalkan UMNO.

Bagaimanapun, kenyataan itu ditolak Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, apabila menyifatkan dakwaan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah bertujuan memecah-belahkan perpaduan parti itu yang kini mempunyai semangat dan iltizam baharu.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan I dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, menegaskan himpunan berkenaan bukan sahaja dihadiri pemimpin DAP, malah pemimpin dan ahli parti lain, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dakwaan berkenaan tidak akan memberi kesan kepada gabungan kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Tambahan pula, katanya, pihak yang membuat dakwaan terbabit adalah mereka yang sudah keluar UMNO.

"Macam-macam dakwaan, tapi saya dengar dakwaan itu daripada orang yang sudah keluar daripada UMNO, itu terpulanglah," katanya.

Menteri Pengangkutan, yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, merasmikan penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL
Menteri Pengangkutan, yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, merasmikan penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL
Berita Harian X