KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pemilik syarikat dalam Ops Hire 2.0 membabitkan kes tuntutan palsu berkaitan dana di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar jam 1 tengah hari tadi ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.
Katanya, suspek adalah pemilik syarikat dan dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM370,000 sekitar tahun 2020 hingga 2021.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau menambah, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, jam 9 pagi esok untuk permohonan reman.
Sehingga kini, kiraan BH mendapati mendapati seramai 60 individu, terdiri daripada 42 lelaki dan 18 wanita berhubung kes itu.
Hari ini, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan 12 lagi individu ditahan SPRM, semalam membabitkan kes sama.
Semua suspek berusia 29 tahun hingga 53 tahun itu ditahan semalam secara serentak dalam operasi di seluruh negara.