Rabu, 17 Mei 2023 | 3:06pm
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Segera ambil tindakan kakitangan salah laku - KSN

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta tindakan segera diambil ketua-ketua jabatan yang kakitangan mereka dikaitkan dengan salah laku seperti didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, terdapat kementerian sudah bertindak berhubung perkara itu, termasuk Kementerian Pengangkutan yang akan berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengenainya.

Sebelum ini, New Straits Times melaporkan Azam mendedahkan ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun suruhanjaya itu mengesyorkan supaya tindakan diambil.

Malah, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, lebih 500 laporan salah laku yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu belum diambil tindakan oleh ketua jabatan, termasuk membabitkan polis serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihaknya masih menunggu tindakan susulan.

Mohd Zuki berkata, beliau percaya ketua-ketua jabatan dalam proses untuk mengambil tindakan tatatertib.

"Malah beberapa laporan SPRM bagi mana-mana kes yang memerlukan tindakan tatatertib, sebahagiannya telah diambil tindakan. Cuma bagi kes jenayah rasuah, akan diambil tindakan sendiri oleh SPRM dan mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri 2023 di sini, hari ini.

Pada 9 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau akan Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan salah laku kakitangan agensi di bawah kementeriannya yang tidak diendahkan.

Dalam reaksi balasnya dua hari kemudian, Azam memaklumkan, pertemuan dengan Menteri Pengangkutan bagi memberi penjelasan berhubung isu itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Mohd Zuki menjelaskan, isu berkaitan salah laku kakitangan kerajaaan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ada jawatankuasa khas untuk melihat laporan mengenainya.

"Sebenarnya terdapat kes dalam tindakan JPA, betul ada beberapa kes mungkin dalam proses untuk menyiasat.

"Mungkin apa yang dibangkitkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu adalah kes kumulatif, yang menyebabkan kes jadi banyak," katanya.

Berita Harian X