Selasa, 16 Mei 2023 | 9:06pm

Pintu baraj sebelah Kedah yang terbuka, bukan di Pulau Pinang

BAYAN LEPAS: Kerajaan Pulau Pinang kesal dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggesa Pulau Pinang supaya memperbaiki baraj di bahagian negeri itu sedangkan isu gangguan air berpunca daripada masalah sistem automatik baraj di sebelah Kedah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) pada 14 Mei lalu telah menghantar surat kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) memaklumkan pintu baraj terbuka sendiri menyebabkan pengaliran air ke laut tanpa sekatan dengan paras Sungai Muda susut mendadak daripada 1.85 meter kepada 0.67 meter.

"Pembukaan atau penutupan pintu baraj di Sungai Muda itu dikendalikan melalui Sistem SCADA secara automatik tetapi pada 13 Mei jam 8.30 malam ia 'terbuka' sendiri tanpa amaran selama 11 jam.

"Keesokan harinya pada jam 7.30 malam PLSM mendapati paras air Sungai Muda turun ke paras 0.67 meter sebelum bertindak menutup semula pintu baraj berkenan secara manual di bahagian Kedah.

"Pihak kerajaan negeri sekali lagi ingin menyatakan bahawa surat itu dihantar kepada LSANK dan bukan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atau mana-mana pihak di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis sambutan Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Kon Yeow berkata, terdapat dua baraj dibina merentangi Sungai Muda iaitu yang pertama setinggi 1.8 meter dibina pada 1973 di dalam kawasan Pulau Pinang manakala satu lagi baraj setinggi 2.1 meter dibina di sebelah Kedah pada 2014.

Muhammad Sanusi seperti dipetik beberapa akhbar dan portal berita semalam turut berkata gangguan bekalan air tercetus apabila paras air di baraj sebelah Kedah berada pada tahap dua meter namun di pihak Pulau Pinang berada di bawah 1.55 meter.

Kon Yeow menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mengelirukan dan mengandungi fakta yang tidak benar selain turut mengundang kritikan beberapa pihak terhadap Pulau Pinang.

"Sekiranya (kenyataannya) dipetik secara salah dalam laporan berkenaan beliau seharusnya berhubung dengan organisasi media yang mencetak dan menerbit berita berkenaan dan minta satu pembetulan diterbitkan.

"Jika MB (Menteri Besar) memang buat kenyataan itu beliau sepatutnya mendapatkan fakta yang betul dan mungkin perlu minta maaf kepada Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang.

"Ada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) menggunakan kenyataan itu yang mereka anggap apa dikatakan itu betul dan hentam Pulau Pinang kerana gagal jaga baraj di kawasan sendiri sehingga menyebabkan rakyat susah," katanya.

Kon Yeow berkata pemulihan masalah gangguan air di negeri ini telah mencapai 98 peratus dengan baki pengguna terjejas terutamanya membabitkan kawasan tinggi di Daerah Barat Daya menerima bekalan air melalui lori tangki selain dibantu bomba sukarela.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pejabat baharu PDC pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Tahun 2023 di Atrium, Pejabat PDC di sini hari ini. Sambil disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar (dua dari kanan). Foto NSTP/MIKAIL ONG
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pejabat baharu PDC pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Tahun 2023 di Atrium, Pejabat PDC di sini hari ini. Sambil disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar (dua dari kanan). Foto NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X