PUTRAJAYA: Tiga pejabat Jabatan Imigresen (Imigresen) iaitu di Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju akan menjadi projek rintis bagi melaksanakan permohonan pembaharuan pasport melalui sistem MyOnline Passport, mulai 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tiga pejabat itu dipilih berikutan pengeluaran pasport yang tinggi antara 500 hingga 800 sehari selain liputan internet yang baik.
"Ini bermaksud, pejabat cawangan ini akan menerima permohonan secara dalam talian bagi permohonan pembaharuan pasport bagi pemohon berumur 13 hingga 18 tahun; pemohon berumur 18 hingga 59 tahun; dan pemohon Warga Emas berumur 60 tahun ke atas.
"Dengan pelaksanaan permohonan secara dalam talian ini, kategori pemohon yang berumur 13 hingga 59 tahun adalah tidak diterima di kaunter atau secara "walk-in" di ketiga-tiga pejabat terpilih ini.
"Namun pejabat lain akan menerima perkhidmatan pemohonan pasport seperti sediakala," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Saifuddin berkata, ketiga-tiga pejabat dipilih itu masih boleh menerima permohonan di kaunter atau secara walk-in bagi pemohonan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
"Selain itu warga emas 60 tahun ke atas, bakal jemaah haji yang menerima tawaran Tabung Haji, pelajar berumur 21 tahun ke bawah yang menerima tawaran pengajian ke luar negara, golongan kurang upaya (OKU), selain ahli keluarga yang mengiringi pemohon kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah," katanya.
Beliau berkata, sejumlah 2,347,493 pasport dikeluarkan dari April hingga Disember 2022, sejak tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
"Setakat Januari hingga 12 Mei lalu pula, Imigresen sudah mengeluarkan sebanyak 1.67 juta pasport dan daripada jumlah ini sebanyak 464,725 pasport adalah daripada permohonan secara dalam talian," katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat Imigresen, bagi setiap 1,000 pasport baharu yang dikeluarkan, hanya 400 digunakan orang ramai untuk perjalanan keluar negara.