Selasa, 16 Mei 2023 | 6:26pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah, hadapan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Sayantan Das (kiri hadapan) serta rakan kongsi restoran yang menawarkan item Menu Rahmah pada Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Ibu Pejabat Korporat Foodpanda, hari ini.--BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah, hadapan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Sayantan Das (kiri hadapan) serta rakan kongsi restoran yang menawarkan item Menu Rahmah pada Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Ibu Pejabat Korporat Foodpanda, hari ini.--BERNAMA

KPDN akan nilai, tambah baik Program Payung Rahmah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan mesyuarat khas dengan penggerak industri pada akhir bulan depan, bagi membuat penilaian dan menambah baik Program Payung Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau mahu memastikan inisiatif yang dimulakan pada Januari lalu itu mencapai matlamat dan mewujudkan pelan yang lebih komprehensif untuk masa akan datang.

"Kita akan melihat secara keseluruhan mengenai apa juga tindakan, kesan langsung dan pandangan, malah KPDN terbuka menerima sebarang kritikan bagi memastikan dalam tempoh enam bulan seterusnya, inisiatif ini dapat ditambah baik.

"Kita akan ambil kira semua pandangan bagi merangka pelan jangka pendek dan panjang. Proses nilai tambah itu penting supaya inisiatif ini dapat kita kekalkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Payung Rahmah bersama Foodpanda Malaysia di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das.

Salahuddin yakin, inisiatif Payung Rahmah akan terus mendapat sambutan selepas menerima banyak penyertaan daripada penggerak industri dalam pelbagai sektor.

"Jika di peringkat awal, ada yang skeptikal dan saya sendiri pun tidak menyangka ia akan sampai sejauh ini.

"Bagaimanapun, dengan penyertaan Foodpanda dan lebih ramai lagi yang menyertai inisiatif ini, akan menjadikan program ini dapat diurus tadbir pada masa akan datang," katanya.

Mengenai perbincangan KPDN dengan tiga kementerian lain berkaitan isu gula, Salahuddin berkata, ia berkisar kepada hala tuju bekalan gula dalam negara bagi memastikan bahan itu sentiasa cukup di pasaran.

Kementerian mahu memastikan rakyat dapat membelinya pada harga ditetapkan selepas subsidi bahan itu dimansudkan pada 2013.

"Kita perlu lebih pro aktif dalam kita melihat isyarat yang jelas bahawa harga bahan mentah dan bahan api meningkat begitu tinggi, jadi ia perlukan penyelesaian tuntas (kepada isu bekalan)," katanya.

Mengulas inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda, Salahuddin berkata, syarikat penghantar makanan itu menjadi perintis dalam menawarkan penghantaran Menu Rahmah di Malaysia, membabitkan 20 jenama makanan di 238 cawangan premis.

"Melalui Pandamart, iaitu kedai runcit Foodpanda, dua pakej barangan runcit ditawarkan pada harga RM50 dan RM30 setiap satu, iaitu penjimatan sehingga 25 peratus untuk pembeli mendapatkan barangan keperluan harian mereka," katanya.

Berita Harian X