JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menutup serta-merta operasi Taska yang dipercayai terbabit dalam kes dera dua bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On, berkata tindakan itu diambil selepas Taska berkenaan disahkan tidak mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi.
Beliau berkata, dua cawangan Taska itu di Jalan Abd Samad dan Gelang Patah, turut diarahkan tutup operasi.
Khairin-Nisa yang meninjau Taska berkenaan pagi tadi berkata, beliau turut bertemu pengusaha Taska berkenaan dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
"Saya mendapati Taska berkenaan belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana belum mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan bomba.
"Jika belum dapat kebenaran daripada ketiga-tiga pihak ini, JKM memang tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini, kita sudah nasihat supaya tidak beroperasi tanpa lesen tetapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi.
"Oleh itu, ketiga-tiga rangkaian Taska berkenaan diarah tutup serta-merta oleh JKM negeri mengikut Seksyen 20a Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984," katanya.
Khairin-Nisa berkata, pengusaha Taska itu dipercayai sudah memohon lesen pada awal tahun ini dan beroperasi secara haram selama tiga hingga empat bulan ini.
Pada masa sama, beliau turut menasihati ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada tempat yang dihantar mempunyai lesen menjaga kanak-kanak.
Semalam, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mendera seorang bayi.
Tindakan wanita itu mengundang marah netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.
Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.
Wanita yang juga pengasuh Taska swasta berusia 21 tahun itu kini ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.