Selasa, 16 Mei 2023 | 11:21am
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

Warga KKD perlu bersikap amanah, berintegriti laksana tugas

PUTRAJAYA: Kakitangan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu sentiasa mendukung sikap amanah dan menjunjung integriti ke tahap tertinggi dalam melaksanakan tugas, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, sikap amanah dan integriti diterapkan bukan saja memberi harga terhadap diri sendiri, malah memberi impak baik kepada organisasi, rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Kita perlu suburkan sikap amanah dan mengukuhkan integriti dalam diri kita semua. Saya berharap sikap ikhlas dan suasana keseronokan dalam bekerja perlu terus dipupuk.

"Saya percaya KKD mempunyai warga kerja yang berdaya saing dan terbaik dalam apa juga khidmat yang diberikan," katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tahun 2022 di sini, hari ini.

Seramai 374 warga KKD menerima sijil penghargaan dan insentif bernilai RM1,000 sempena APC termasuk 53 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin.

Dalam usaha melaksanakan perubahan yang lebih dinamik dan progresif, Fahmi berkata, warga KKD perlu terus memberi penekanan kepada pembentukan peribadi melalui peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

"Warga kerja KKD adalah aset penting dalam menjayakan setiap dasar dan agenda nasional yang diterajui Kerajaan Perpaduan," katanya.

Mengulas mengenai APC, Fahmi berkata anugerah itu diharap dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga KKD supaya sentiasa mempunyai daya saing dalam membudayakan amalan kerja yang cemerlang seiring ikrar perkhidmatan awam. – BERNAMA

Berita Harian X