JOHOR BAHRU: Malaysia dicalonkan sebagai anggota Lembaga Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN Habitat) dalam pemilihan pada bulan hadapan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata pemilihan bagi menganggotai Lembaga Eksekutif UN Habitat itu akan diadakan di Nairobi, Kenya pada 4 Jun ini.
"Malaysia dicalonkan menganggotai Lembaga Eksekutif UN-Habitat bulan depan dan sedang berusaha dapatkan sokongan daripada negara yang sehaluan dengan kita.
"Jemaah Menteri meluluskan untuk KPKT menerajui usaha ini sekali gus memenangi pemilihan di Perhimpunan UN-Habitat.
"Sebanyak 193 negara akan menyertai himpunan itu dan hanya 36 negara akan dipilih menduduki Lembaga Eksekutif UN Habitat itu.
"Usaha ini akan mengukuhkan Matlamat Pembangunan Mampan di Malaysia selain sebagai hala tuju pembangunan negara menerusi polisi dan inisiatif yang telah direncanakan oleh KPKT," katanya selepas lawatan kerja di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.
Pada 28 Mac lalu, Malaysia dilapor berhasrat mewakili rantau Asia Pasifik sebagai anggota Lembaga Eksekutif UN Habitat.
Kor Ming dilaporkan berkata hasrat itu bertujuan meletakkan negara di barisan hadapan dalam agenda perbandaran mampan dan sejagat di pentas global.
Beliau dilaporkan berkata, KPKT sudah mengadakan sesi libat urus bersama duta besar dan wakil kedutaan asing di Malaysia daripada negara-negara rantau Asia Pasifik sebagai persediaan menghadapi pemilihan berkenaan.