Isnin, 15 Mei 2023 | 9:42am

Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan tak layan sebarang cubaan sabotaj kerajaan - Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih yakin dengan kesepaduan Kerajaan Perpaduan ketika ini yang semakin kukuh berbanding pada ketika mula mengambil alih kerajaan.

Perdana Menteri berkata, ketika awal pertukaran kerajaan, bermacam-macam percubaan menggagalkannya termasuk menerusi perakuan sumpah (SD) dan sebagainya.

"Saya lebih yakin, sebagaimana kita lihat Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam, yang telah menetapkan satu bentuk kerajaan kukuh.

"Pada peringkat awal saya ambil itu, macam-macam percubaan, SD dan sebagainya dan sampai kepada Yang Dipertuan Agong dan sultan-sultan.

"Tetapi apabila beberapa bulan berlalu, nampak lebih kemas. Dalam sistem politik demokrasi, siapa pun boleh rebut kuasa ikut jalur yang sah.

"Ketua parti baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti besar bagi komitmen yang sangat jelas.

"Pengukuhan menerusi perhimpunan semalam jelas bahawa sekurang-kurangnya untuk bertahun akan datang ini, tidak ada lagi layanan terhadap percubaan untuk sabotaj kerajaan yang ada," katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Perdana Menteri berkata, menerusi beberapa program dilaksana Kerajaan Perpaduan telah memberi keyakinan, negara mungkin mantap kalau kerajaan itu stabil dan ada jangka panjangnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik sedia ada dalam negara telah menyumbang kepada beberapa prestasi yang baik antaranya ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

"Kalau lihat angka-angka Jabatan Perangkaan menunjukkan suku tahun pertama itu jauh lebih baik daripada yang diunjurkan November dan Disember tahun lepas… inflasi berkurang, jumlah penganggur berkurang dan pelaburan juga bertambah," katanya.

Beliau berkata pertambahan pelaburan di Malaysia memerlukan semua pihak di peringkat pusat dan negeri untuk bekerja serentak bagi membolehkan proses pelaburan lancar.

"Pihak (negeri), perbandaran harus bekerja sederap supaya tahap kelulusan itu dapat dipercepatkan. Ini akan memastikan kita dapat pertahankan kadar pertumbuhan yang lebih meyakinkan dan serlahkan komitmen dan kesungguhan," katanya.

"Ini akan dapat memastikan kita dapat pertahankan rentak pertumbuhan yang lebih meyakinkan. Jadi ini terserah komitmen dan kesungguhan kita," katanya.

Anwar berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Anwar berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X