GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mesti bersih tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam tatakelolanya yang boleh menjejaskan reputasi lembaga berkenaan.
Dengan cara itu, Perdana Menteri berkata, LHDN berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengutip cukai secara lancar, sekali gus meningkatkan hasil negara.
Tegasnya, adalah penting bagi LHDN memastikan tiada mana-mana pihak mempunyai pengaruh ke atasnya, sekali gus mewujudkan persekitaran bebas salah laku dan salah guna kuasa.
"Ini bermakna tatakelola kita kena urus dengan betul, guna kuasa bantu rakyat. Hasilnya Januari hingga April, Keluaran Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat 5.6 peratus, lagi tinggi daripada China, Vietnam dan Indonesia.
"LHDN lapor kutipan cukai juga bertambah. Dari mana bertambah? Orang yang dulu curi-curi tak bayar cukai, semua sekarang bayar cukai. Yang orang bawah bayar cukai, orang kaya di atas bayar buku akaun tiga empat, dia lari daripada cukai.
"Alhamdulillah, sekarang dia tahu tak boleh sogok pemimpin, maka LHDN harus bersih betul-betul dan hasil yang kita peroleh itu meningkat," katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI peringkat Selangor di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Berucap di hadapan lebih 20,000 hadirin, Perdana Menteri turut menyentuh kejayaan pentadbirannya mencatat pelaburan bernilai RM170 bilion hasil lawatan ke China, baru-baru ini.
Mendedahkan mengapa republik itu melabur besar di Malaysia, Anwar menjelaskan, tatakelola Kerajaan Persekutuan ketika ini yang bersih membuatkan China yakin melabur di negara ini.
"Ini kerja berpasukan. Kita mencatat pelaburan daripada Amazon bernilai berpuluh bilion. Geely pula sebanyak RM10 bilion di Tanjung Malim, (nilai pelaburan) RM170 bilion oleh China datang memberi pelaburan dan pekerjaan di negara kita.
"Sebab apa? Mereka percaya ktia tidak sakau, tidak curi duit komisen dan kita tahu kerja menjaga kepentingan rakyat." katanya.