KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini diharap mampu menoktahkan permusuhan politik yang berlarutan sejak puluhan tahun antara parti berbeza sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim, berkata atas dasar itu, sayap semua parti mempunyai tanggungjawab besar untuk menguruskan perbezaan dan menyatakan komitmen bersama bagi menguatkan lagi gabungan dibentuk melalui Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kefahaman pembentukan kerajaan antara parti itu mungkin lebih mudah difahami dalam kalangan pimpinan, namun ia tidak mudah bagi akar umbi yang masih memerlukan sebuah hala tuju yang jelas.
"Pemimpin di peringkat atas lebih mudah memahami dan membentuk kesefahaman dalam Kerajaan Perpaduan kerana sering bertemu di Parlimen atau mesyuarat bersama, berbanding rakyat di peringkat akar umbi.
"Justeru mereka memerlukan suatu hala tuju yang jelas dan saya harap konvensyen ini adalah permulaan kepada hala tuju yang lebih jelas... tidak guna berhimpun sekadar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa limpahkannya kepada rakyat.
"Ini kerana sebuah toleransi tidak boleh dilakukan dengan kepura-puraan, namun perlu datang dengan hati ikhlas," katanya pada Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Adam Adli menyertai sesi dialog bertajuk 'Politik Sebagai Wadah Anak Muda Membina Bersama Negara.
Sesi itu turut disertai Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda dan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Pusat, Prof Dr Edwin Laimin.
Lebih 1,000 perwakilan dan delegasi sayap parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan, hadir di Dewan Tun Dr Ismail di WTC.
Sementara itu, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, kementerian itu sedang melaksanakan program perintis pendidikan demokrasi membabitkan 5,000 orang di seluruh negara, bermula bulan ini.
Beliau berkata, program pendidikan demokrasi itu adalah bagi memastikan golongan muda mampu dilahirkan sebagai pengundi yang memainkan peranan dalam pembentukan pentadbiran kerajaan.
Atas dasar itu, katanya KBS sudah melakukan proses libat urus dengan sayap parti dari kerajaan dan pembangkang, sebelum ini dalam menjayakan program terbabit.
"Dalam menjayakan program itu seperti diminta Kabinet, KBS mengadakan pertemuan dengan sayap pemuda parti kita jemput juga wakil BERSATU dan PAS.
"Kita bentang apa yang kita rangka membabitkan program pendidikan demokrasi untuk anak muda yang kini dipergiatkan untuk mematangkan golongan muda," katanya.
Pada masa sama, Adam berkata program itu disifatkan penting susulan pelaksanaan Undi18, Januari tahun lalu untuk melahirkan pengundi yang bukan sekadar menyumbang kepada penambahan angka.
"Kita sudah turunkan usia pengundi dan perlu adanya platform dalam memberikan pendedahan sebenar kerana tidak boleh melahirkan pengundi yang hanya dilihat sebagai angka namun pengundi yang dilihat mampu menjadi penguat negara," katanya.