Sabtu, 13 Mei 2023 | 1:14pm

PM arah cari pihak bertanggungjawab sebabkan negara rugi RM4.5 trilion

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan empat agensi mencari pihak bertanggungjawab menyebabkan negara menanggung kerugian dianggarkan RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Perdana Menteri menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah melakukan apa saja tindakan mengikut undang-undang dalam isu itu.

Beliau menjelaskan, arahan itu tidak merujuk kepada pihak tertentu, sebaliknya meminta pihak berkuasa memastikan sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan dihadapkan ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak tanpa mengira perbezaan pegangan politik, kaum dan agama untuk bersama-sama menyokong tindakan kerajaan menghukum pihak yang melakukan rasuah.

"Saya dah berikan arahan kepada SPRM, LHDN, BNM serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM untuk mengambil apa saja langkah mengikut jalur perundangan untuk bertindak.

"Ada orang tanya mengapa saya suarakan (perkara ini)? Saya suarakan supaya orang sedar. Kadang-kadang kita suarakan lawan rasuah pun ada orang takut.

"Kita kena suarakan tetapi saya tidak boleh berikan petunjuk satu persatu, melainkan arahan umum kerana ada orang yang diketahui rasuah berbilion, dah puluh tahun tapi selamat, tidak (sesiapa) berani sentuh.

"Apa erti negara, kekuatan undang-undang kalau kita minta polis, LHDN ambil tindakan (pada) di bawah-bawah tapi yang di atas terlepas? Kumpulan harta itu puluh-puluh bilion ringgit.

"Itu sebabnya saya bagi arahan umum dan saya harap rakyat tak kira parti, tak kira kaum, bagi sokongan terhadap tindakan ini," katanya pada Program Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Menurut EMIR Research, badan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur, anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dipetik berkata, jumlah angka kerugian kewangan boleh menjadi jauh lebih tinggi disebabkan kesan pengganda pelaburan yang merujuk kepada impak stimulatif pelaburan awam atau swasta.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, jumlah kerugian sebenar yang dialami negara akibat ketirisan dan rasuah belum dapat dipastikan, namun beliau percaya nilainya sekitar puluhan bilion ringgit.

Atas faktor itu, beliau mengambil keputusan menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai dasar yang amat serius di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, meskipun mendapat tentangan 'golongan kaya dan korup'.

"Walaupun mendapat serangan atau percubaan kelompok-kelompok terutama yang kaya dan korup, (memiliki) harta berbilion-bilion di dalam dan luar negara, yang menyoroknya...itu mereka nampaknya kumpul kekuatan untuk lawan (saya).

"Tapi, saya telah ambil satu keputusan dan tekad bahawa masalah Malaysia ini mesti diselamatkan daripada penyakau-penyakau ini dan ini memerlukan tekad politik yang jelas dan tegas," katanya.

Perdana Menteri turut mengulangi jaminannya bahawa tindakan kerajaan memerangi rasuah bukan atas faktor perbezaan kaum dan agama, sebaliknya menjurus pada isu akhlak dan nilai yang merosakkan negara.

"Walaupun dipermainkan, saya faham masalah ini dan kita mahu rakyat faham serta bersama menyerang dan menghentikan (amalan rasuah dan ketirisan)," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) hadir Majlis Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran JAWI di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) hadir Majlis Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran JAWI di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X