Jumaat, 12 Mei 2023 | 5:27pm
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman.

SAM gesa buat semula EIA PSR bagi dinilai JAS

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya penilaian impak alam sekitar (EIA) projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dibuat semula bagi mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan terdapat perubahan dalam konsep pembangunan, baik dalam reka bentuk dan penyataan keperluan.

Presidennya, Meenakshi Raman, berkata mengikut syarat 11 (daripada 71 syarat) oleh Ketua Pengarah JAS, sebarang perubahan kepada konsep pembangunan seperti dinyatakan dalam Laporan EIA hendaklah dikemukakan bagi kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Katanya, SAM berpendapat demikian memandangkan projek itu dijangka hanya membabitkan satu pulau dengan perlu ada EIA baharu dibuat.

"Sebagai contoh, perlu ada penilaian impak hidraulik dan hidrologi baharu yang meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan.

"Ini akan berubah daripada mempunyai satu pulau dan bukannya tiga pulau seperti yang berlaku sebelum ini," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, kajian terhadap migrasi udang yang perlu dilakukan lebih awal mengikut EIA yang baru diluluskan juga belum selesai.

Katanya, ia masih sangat ketara dari segi impak kepada hidupan marin, migrasi udang dan keselamatan makanan.

"Lebih-lebih lagi, kenyataan keperluan projek itu sudah berubah, kini Kerajaan Persekutuan menyediakan dana yang diperlukan bagi menangani masalah pengangkutan di Pulau Pinang.

"Jadi, kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada kelulusan JAS pada April dan meneruskan pelan pengurusan alam sekitar memandangkan perubahan yang berlaku," katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam PSI seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 6 Mei lalu.

Pengurangan keluasan itu membabitkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan Meenakshi semalam, SAM menyifatkan tambakan laut seluas 930.8 hektar bagi projek itu masih berskala besar dan tetap memberi impak buruk terhadap ekosistem laut.

SAM juga menggesa kerajaan negeri membatalkan terus projek terbabit dan menolak keputusan mengecilkan Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar memandangkan kawasan penambakan terbabit masih sangat besar, sekali gus menjejaskan kawasan perikanan dan alam sekitar.

Berita Harian X