KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini diperintah mengemukakan jawapan dalam masa tiga minggu terhadap tuntutan saman yang dikemukakan syarikat pemborong barangan kemas dari Lubnan.
Saman difailkan Global Royalty Trading SA (Global Royalty) itu bagi menuntut AS$14.57 juta atas dakwaan Rosmah melanggar kontrak berhubung kehilangan 43 barang kemas kepunyaan syarikat terbabit yang diserahkan kepadanya, lima tahun lalu.
Peguam, David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika dihubungi, berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rini Triany Muhamad Ali mengarahkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 2 Jun.
Katanya, melalui prosiding kes yang dijalankan secara 'e-review', mahkamah menetapkan pada 7 Jun ini bagi pengurusan kes lanjut.
Global Royalty memfailkan saman itu pada 29 Mac lalu dengan mendakwa Rosmah, 72, berbohong bahawa barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan ejen syarikat kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia.
Rampasan itu untuk kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala bakinya tidak disimpan pihak berkuasa.
Menurut syarikat itu, Rosmah gagal dan cuai memulangkan barangan kemas terbabit yang diserahkan kepadanya pada 10 Februari 2018.
"Berdasarkan surat aku janji ditandatangani bertarikh 22 Mei 2018, beliau mengakui ia berada dalam simpanannya dan kemudian disita Kerajaan Malaysia.
"Bagaimanapun, dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula barangan itu, hanya satu daripada 44 barang kemas dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik plaintif, iaitu gelang berlian bertatahkan permata zamrud.
"Oleh itu, menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatannya," katanya.
Global Royalty mendakwa, Rosmah memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya sudah hilang, sekali gus beliau perlu bertanggungjawab untuk menanggung kerugiannya.
Syarikat itu memfailkan saman kali pertama terhadap Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntutnya memulangkan kembali atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.
Bagaimanapun, Global Royalty menarik balik tuntutan itu pada 2019 kerana perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada di Bank Negara Malaysia (BNM) atau sebaliknya.