KUALA LUMPUR: Pameran Reka Cipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 kini mengambil langkah ke hadapan dengan mengumpulkan peserta dari pelbagai negara untuk mencipta teknologi mampan dalam menangani krisis iklim di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata penganjuran ITEX 2023 di negara ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk memajukan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi negara.
Lih Kang berkata beliau sangat teruja untuk melihat penyelesaian baharu yang lebih inovatif dengan reka cipta berdasarkan teknologi cekap tenaga, menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan karbon serta menggunakan bahan kitar semula.
"Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan anda semua ke ITEX 2023 dan meraikan pencapaian luar biasa peserta. Saya juga gembira bahawa Malaysia menjadi tuan rumah kepada pempamer dari 17 negara untuk mempamerkan lebih 700 produk dan teknologi inovatif.
"Malah saya juga berbesar hati untuk melihat penganjuran ITEX 2023 ini akan menyumbang kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan membolehkan Malaysia mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
"Ia juga menunjukkan betapa cepatnya industri ini untuk memenuhi keperluan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan Perubahan Iklim dan Pembangunan Mampan," katanya dalam ucapan pelancaran ITEX 2023, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hadir sama ialah Presiden Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS) dan Penganjur ITEX 2023, Tan Sri Dr Augustine Ong dan Presiden CIS yang juga penganjur bersama ITEX 2023, Datuk Vincent Lim.
ITEX 2023 yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, adalah satu platform penting kepada peserta menonjolkan inovasi dan teknologi yang direka bagi melindungi alam sekitar.
Pada penganjuran kali ini yang bertemakan 'Teknologi Membalikkan Perubahan Iklim', ia menerima lebih 700 penyertaan reka cipta dengan 80 peratus daripadanya memfokuskan kepada penyelesaian teknologi iklim, institusi tempatan dan individu.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, ITEX 2023 itu bukan sahaja dapat mengumpul pihak berkepentingan dalam bidang industri, komersial, korporat dan universiti bahkan ia juga mampu memupuk minat pencipta muda menerusi penganjuran Pameran Pencipta Muda Sedunia (WYIE).
"Selain daripada peranannya sebagai platform untuk mempamerkan ciptaan, inovasi dan teknologi baharu, ITEX juga memberikan peluang untuk bekerjasama, bertukar pengetahuan dan belajar antara satu sama lain.
"Dengan menghimpunkan pencipta daripada pelbagai latar belakang termasuk sektor universiti, institusi pendidikan dan penyelidikan, Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta usahawan, ia juga boleh mewujudkan ekosistem sokongan bagi memupuk inovasi serta mampu mengubah idea berkenaan menjadi kenyataan," katanya.
Tambahnya, rangka kerja MADANI yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini urut menyatakan mengenai 'Daya Cipta' atau Inovasi bagi merangsang kreativiti dan kepakaran tempatan.
Dengan memberi tumpuan kepada komponen Inovasi dan Kreativiti MADANI, MOSTI sedang mewujudkan kesediaan negara bagi menghadapi pertumbuhan pesat teknologi yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian 4.0.
Oleh itu kerajaan sedang mendorong kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta pelbagai lagi aplikasi teknologi canggih.
Bajet 2023 memperuntukkan sebanyak RM428 juta untuk aktiviti Penyelidikan & Pembangunan 1 Program (R&D1) dibawah Kementerian Pengajian Tinggi dan MOSTI.
Ia bagi menangani cabaran sektor dan masyarakat, termasuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global dalam bidang utama kelestarian alam sekitar, kesihatan dan keselamatan makanan dengan inovasi sebagai penggerak utama.
"Pujian kepada ITEX kerana mempromosikan peluang pengkomersilan dengan ketara untuk pencipta tempatan ke pasaran global.
"Usaha ini sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan sasaran MOSTI bagi 500 teknologi dan produk R&D yang dikomersialkan melalui Tahun Pengkomersilan Malaysia menjelang 2025," katanya.