Khamis, 11 Mei 2023 | 10:24pm

Raja Permaisuri terima kunjungan bekas Perdana Menteri Britain

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima kunjungan bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron di Pavilion Antarabangsa Malaysia sempena Minggu Kraf London 2023, semalam.

Seri paduka baginda meluangkan masa beramah mesra dengan Cameron serta pengasas Berjaya Corporation Berhad dan pemilik Kelab Bola Sepak Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan yang turut hadir ke pameran yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London.

Selain orang kenamaan, Tunku Azizah turut berkenan beramah mesra dengan pengunjung di pameran yang bertemakan Abstrak Alam Semula Jadi itu, menurut hantaran Facebook Istana Negara hari ini.

Pameran seni kraf dan produk warisan yang bermula Sabtu lalu hingga Ahad ini, memaparkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat Malaysia khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang dan Mah Meri (Selangor) di Semenanjung serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Pameran edisi kedua Malaysia sempena Minggu Kraf London kali ini turut mengetengahkan Songket Terengganu dan telepuk (teknik menghias tekstil).

Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diterajui Tunku Azizah sebagai Ketua Delegasi Malaysia dan Yayasan Tenun Pahang Diraja serta disokong oleh Kementerian Luar, Kerajaan Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu. – BERNAMA

Berita Harian X