Khamis, 11 Mei 2023 | 7:10pm

RTS ikut jadual, siap hujung 2026

JOHOR BAHRU: Pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura berjalan mengikut jadual dengan tahap kemajuan mencapai 36 peratus, setakat akhir bulan lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pembinaan jajaran jejambat laut rel laluan RTS menghubungkan Stulang Laut, di sini, ke Woodlands, Singapura pula kini mencapai 30 peratus.

"Saya memantau dengan teliti setiap perkembangan projek, selain berkomunikasi dengan rakan sejawat dari Singapura, S Iswaran, dengan kerap.

"Malaysia dan Singapura berazam dan komited untuk memastikan projek RTS ini siap mengikut jadual ... dijangka siap sepenuhnya Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, turut dijangka akan merasmikan jajaran laut RTS di antara Stulang Laut dan Woodlands, selepas kedua-duanya jajaran ini selesai disambungkan, awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika lawatan kerja ke projek Sistem Transit Rapid (RTS), di RTS Link Project Marine, di sini, hari ini.

Loke dan rakan sejawatnya Menteri Pengangkutan, Singapura S Iswaran ketika meninjau projek RTS Link Johor Bahru-Singapura. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Loke dan rakan sejawatnya Menteri Pengangkutan, Singapura S Iswaran ketika meninjau projek RTS Link Johor Bahru-Singapura. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

RTS ialah sistem transit aliran ringan pertama dibina di bandar raya ini yang menjadi pintu masuk utama di selatan negara.

Pembinaan RTS fasa satu bermula pada Januari 2021 yang dijadualkan mengambil masa empat tahun, membabitkan fasa pembinaan sistem telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem akan dijalankan sebelum beroperasi.

Jajaran RTS itu merangkumi jarak 2.7 kilometer (km) di Malaysia serta 1.3 km di Singapura, mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang setiap jam.

Ditanya mengenai tambang yang akan dikenakan terhadap pengguna RTS, Anthony berkata, perkara itu masih belum diperincikan.

"Malaysia dan Singapura akan berbincang struktur tambang RTS apabila projek ini semakin hampir siap nanti.

"Buat masa ini, fokus Malaysia dan Singapura adalah projek ini disiapkan mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Loke (tiga, kanan) bersama rakan sejawatnya Menteri Pengangkutan, Singapura S Iswaran (dua, kiri) mendengar penerangan daripada ketika meninjau projek RTS Link Johor Bahru-Singapura. - Foto BERNAMA
Loke (tiga, kanan) bersama rakan sejawatnya Menteri Pengangkutan, Singapura S Iswaran (dua, kiri) mendengar penerangan daripada ketika meninjau projek RTS Link Johor Bahru-Singapura. - Foto BERNAMA
Berita Harian X