GEORGETOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) menyifatkan keputusan kerajaan negeri mengecilkan skala Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) tidak bermakna kerana tambakan itu tetap menjejaskan mata pencarian mereka.
Pengerusinya, Ibrahim Che Ros, berkata Pulau A atau dikenali sebagai Pulau Silikon seluas 930.8 hektar yang bakal dibina terletak kira-kira satu kilometer dari Pulau Rimau yang kaya dengan hasil laut seperti udang, ikan bawal putih dan senangin.
Beliau berkata, apabila Pulau A siap, nelayan tidak lagi boleh memasuki kawasan berkenaan buat selama-lamanya memandangkan projek pembangunan pulau buatan itu bersifat kekal meliputi kawasan luas di atas permukaan laut.
Katanya, kawasan itu juga sering berlaku percubaan menceroboh oleh bot pukat tunda, menunjukkan memang banyak ikan.
"Sekarang pada fasa peralihan Monsun Barat Daya. Hasil laut banyak kalau sebelah pagi. Kami memukat udang. Petang kami keluar lagi tangkap ikan. Boleh dapat RM300 hingga RM600 sehari dan ada 50 hingga 60 sampan masuk ke kawasan itu setiap hari.
"Pada Jun ini jumlah itu akan meningkat sampai 500 hingga 600 sampan sehari membabitkan nelayan dari Pulau Pinang ... belum dicampur kaki pancing dari Kedah dan Perak," katanya di sini, hari ini.
Ibrahim berkata projek tambakan laut terbabit tidak boleh disamakan dengan projek pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menyaksikan hasil laut kembali selepas kira-kira tiga tahun.
Beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan perhimpunan awam bagi membantah projek terbabit pada Ahad yang turut disokong beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar.
Sementara itu, Naib Presiden Penang Heritage Trust yang juga Felo Intelek Awam Asia, Salma Khoo, berkata projek penambakan dikecilkan tidak dapat mengurangkan kesan alam sekitar dalam jangka masa panjang di kawasan terbabit, terutama di Teluk Kumbar.
Beliau berkata, sekiranya berlaku pencemaran laut di Teluk Kumbar akibat daripada projek itu, ini menjejaskan hasil tangkapan perikanan dan ternakan akuakultur.
"Pengusaha penternakan ikan di kawasan selatan negeri Pulau Pinang dan utara Perak ialah pengeluar hampir separuh hasil ikan ternakan air payau di Semenanjung.
"Sekarang laut di Tanjung Tokong dan di Selat Pulau Pinang sudah tercemar menyebabkan hasil laut merosot. Bot Pulau Pinang dan utara Perak bertumpu di Teluk Kumbar kerana kaya dengan hasil perikanan dan udang," katanya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek PSI seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.