KUALA LUMPUR: Ibu, bapa dan penjaga sebenarnya adalah pihak yang paling tepat untuk dipertanggungjawabkan terhadap kes memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen oleh remaja dan kanak-kanak.
Ini kerana golongan berkenaan seharusnya menjadi contoh dan tauladan baik dalam mendidik anak mereka mengenai keselamatan dan undang-undang jalan raya di negara kita.
Penganalisis Jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pentingnya pendidikan berkaitan keselamatan dan undang-undang jalan raya dan pemanduan haruslah bermula dari rumah atau anak mereka masih kecil.
"Boleh saya katakan masih terdapat ibu, bapa dan penjaga pada hari ini tidak tegas mengenai soal keselamatan dan undang-undang berkaitan keselamatan jalan raya atau boleh dikatakan bersikap sambil lewa sehinggalah terjadinya perkara-perkara atau kejadian tidak diingini pada masa akan datang.
"Sebagai contoh, semasa bergerak dari rumah menuju ke sesuatu lokasi, ibu bapa sendiri sebagai pemandu tidak menunjukkan pentingnya pemakaian tali pinggang keledar apatah lagi dengan anak-anak yang duduk di tempat duduk penumpang belakang, jadi itu yang saya katakan sebagai contoh dan teladan yang tidak baik.
"Malah dalam situasi berbeza ada ibu bapa yang mengarahkan anak mereka yang berusia bawah 16 tahun iaitu syarat seseorang individu dibenarkan untuk mengambil lesen motosikal, membeli barang keperluan rumah di kedai berhampiran. Ini belum lagi mengambil kira ibu bapa yang memanjakan anak mereka dengan memberikan kebenaran menunggang motosikal meskipun belum berusia 16 tahun," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Akhbar berkata, segala contoh dan perbuatan yang dipamerkan oleh ibu dan bapa ini seterusnya akan menyebabkan anak mereka yakin bahawa apa yang dilakukan bukanlah satu kesalahan atau perbuatan yang melanggar undang-undang.
"Berbanding situasi negara maju yang menekankan aspek keselamatan dan undang-undang, apabila enjin kenderaan dihidupkan, ibu dan bapa yang memandu dan duduk di sebelah tempat duduk memandu akan memakai tali pinggang keledar serta memastikan anak-anak mereka yang duduk di kerusi penumpang belakang juga memakai tali pinggang sebelum memulakan perjalanan. Ini menunjukkan ibu bapa dari awal sendiri menekankan betapa pentingnya keselamatan dan undang-undang.
"Keadaan ini seterusnya akan dicontohi oleh anak-anak mereka sehinggalah sudah ada dalam jati diri mereka sendiri pentingnya keselamatan dan undang-undang lalu-lintas apabila mereka dewasa dan memperoleh lesen," katanya.
Beliau berkata, adalah amat kurang wajar sekiranya masih ada pihak yang menunding jari kepada badan penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang lalu-lintas.
"Pada hari ini terdapat lebih 16 juta pemandu dan lebih 32 juta kenderaan direkodkan dan adalah amat sukar untuk kekuatan penguatkuasaan yang ada di negara ini memastikan semua pihak patuh pada undang-undang dan keselamatan jalan raya.
"Sekiranya semua pihak bekerjasama dan selain lebih tegas dalam menitikberatkan soal keselamatan dan undang-undang, saya yakin kanak-kanak dan remaja akan berasa takut untuk membuat sebarang kesalahan kerana sudah dididik dari awal lagi," katanya.
Sementara itu, Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin berkata, pelaksanaan penguatkuasaan berkaitan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Kenderaan Bermotor 1987 dan Peraturan-Peraturan Lalu-Lintas Jalan Raya 1959 perlu dilakukan secara lebih serius lagi.
"Sama seperti di negara lain, keberkesanan undang-undang sangat bergantung kepada pelaksanaannya dan sekiranya undang-undang tidak ditegakkan dengan tegas maka pengguna jalan raya mungkin terus mengabaikan peraturan dan berisiko membahayakan diri dan orang awam lain.
"Oleh itu, penting untuk memastikan undang-undang diikuti dan ditegakkan dengan ketat untuk memastikan keselamatan jalan raya selain memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mematuhi undang-undang dan menjaga keselamatan jalan raya," katanya.
Dr Zalmizy berkata, antara strategi penambahbaikan dalam memastikan pematuhan undang-undang berkaitan lesen memandu adalah melalui kempen kesedaran awam, program pendidikan dan promosi di media sosial selain akses kepada maklumat yang lengkap dan mudah difahami mengenai undang-undang keselamatan jalan raya dan tindakan yang boleh diambil.
"Selain itu, pihak berkuasa perlu meningkatkan pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya. Ini boleh dilakukan melalui peningkatan bilangan pemeriksaan jalan raya, penempatan lebih ramai pegawai penguatkuasaan jalan raya, dan penggunaan teknologi seperti kamera pengesan pelanggaran lalu lintas.
"Berikan intipati penting berkaitan undang-undang semasa program latihan memandu bagi membolehkan masyarakat mengetahui tentang undang-undang berkaitan," katanya.
Secara kesimpulan, katanya, strategi penambahbaikan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang berkaitan dengan lesen memandu dan pemilik kenderaan perlu mengambil pendekatan yang menyeluruh dan membabitkan semua pihak berkepentingan.