Khamis, 11 Mei 2023 | 3:33pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Ibu bapa tidak tahu beza antara 'sayang' dan 'didik' anak - pakar psikologi

KUALA LUMPUR: Kebiasaan atau tabiat harian dilakukan golongan dewasa, memungkinkan sesuatu perbuatan salah itu ditiru anak kecil berikutan pada tanggapan mereka ibu bapanya adalah contoh teladan.

Perlakuan negatif ketika pemanduan seperti perbuatan meriba atau menyusukan bayi di atas pangkuan, memaki hamun, membaling sampah ke luar, tidak menggunakan tali pinggang keledar atau kerusi keselamatan, menimbulkan persepsi tindakan itu bukan kesalahan pada mata si kecil.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dari Universiti SEGi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, berkata ibu bapa tidak boleh mengetepikan keselamatan anak-anak, berikutan suatu kejadian buruk yang ditempuh akan meninggalkan trauma serta mengganggu perkembangan minda si kecil.

"Perlakuan salah golongan dewasa seperti memberikan anak 'pengalaman' memandu atau memegang stereng mungkin mewujudkan keseronokan tetapi kerana kecuaian itu boleh membahayakan nyawa semua orang apabila kenderaan terbabas serta hilang kawalan.

"Mungkin pada pemahaman kanak-kanak 'lampu hijau' ibu bapanya memperlihatkan kasih sayang apabila dia berada atas pangkuan hingga mewujudkan sensasi sosial, emosi positif tetapi ramai golongan dewasa tidak sedar perbuatannya membahayakan diri mereka serta mengakibatkan kemalangan.

"Perbuatan itu menghalalkan pengabaian peraturan jalan raya apabila anak tiada lesen 'boleh bawa kenderaan' tidak duduk dalam kerusi keselamatan dan tidak mengenakan tali pinggang keledar yang sekali gus melanggar undang-undang," katanya.

Semalam, negara dikejutkan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikesan memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga di Langkawi, dengan dia dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Video kemalangan terbabit tular tengah malam kelmarin, orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Mariani berkata, perlakuan atau kegembiraan keluarga itu bukan saja berupaya membawa kecederaan fizikal tetapi mengganggu emosi anak apabila trauma dan mencontohi perbuatan ibu bapanya selaku 'role model' dan mereka melakukan perkara sama sekiranya mempunyai peluang.

"Kanak-kanak ini ibarat 'span' sentiasa ikut turut perintah, mencontohi apa dilakukan golongan dewasa dan menyerap semua maklumat hasil pemerhatian tingkah laku ibu bapa seperti ketika memandu dan mahu melakukan perkara sama.

"Sebagai contoh, kenderaan ibu bapa dianggap barang permainan dan mereka cenderung mencuba apabila ada peluang dan insiden kanak-kanak kecil memandu sepatutnya dijadikan pengajaran kerana nyawa si kecil boleh melayang akibat sikap ibu bapanya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata ibu bapa seharusnya faham dan sedar mengenai perbezaan antara 'sayang anak' dengan 'mendidik anak'.

Ini berikutan katanya, ada dalam kalangan ibu bapa yang terlebih memanjakan anak di atas faktor ia membuktikan rasa sayang kepada si kecil.

"Walaupun bukan satu kesalahan memanjakan tetapi perbuatan itu biar berpada-pada sehingga ibu bapa itu terlupa memberi bimbingan dan didikan sebenarnya seperti pemikiran dan tingkah laku dipelajari.

"Misalnya, tindakan meriba anak di pangkuan bukan setakat kemungkinan ditiru si kecil tetapi mempertaruhkan soal keselamatan, melanggar peraturan jalan raya dan keselamatan ketika memandu.

"Ia tidak seharusnya dijadikan amalan atau tabiat semata-mata untuk membuktikan kasih sayang, bukti kemanjaan dan perasaan selesa kepada anak-anak," katanya

Beliau berkata, disebabkan itu, ada sesetengah masyarakat masih naif dalam pemahaman keselamatan sebenar dan mengambil mudah perkara berkaitan keselamatan selagi tidak berlaku kejadian tidak diingini.

"Begitu juga dengan tindakan membenarkan anak mengeluarkan tangan atau muka dengan keadaan cermin kereta terbuka ketika memandu, yang menandakan tahap kesedaran keselamatan itu masih rendah dalam kalangan ibu bapa.

"Ia menunjukkan ibu bapa tiada kesedaran dan pengetahuan berkaitan keperluan asas psikologi yang bermula dengan keperluan fisiologi dan keselamatan.

"Pakar psikologi, Abraham Maslom dalam Hierarki Keperluan menyatakan keselamatan adalah asas kedua yang perlu diutamakan sebelum kasih sayang," katanya.

Berita Harian X