PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM300 juta menerusi Program Sentuhan Kasih Jelajah Malaysia MADANI bagi menyelesaikan masalah infrastruktur di setiap negeri.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata KPKT juga meluluskan peruntukan RM10 juta untuk bandar raya Johor Bharu bagi menyelesaikan beberapa isu berkait kemudahan awam yang dibangkitkan baru-baru ini.
Antara isu infrastruktur di kawasan bandar raya itu yang akan diselesaikan, katanya, adalah penurapan jalan, naik taraf medan selera, pembersihan tandas awam dan pembinaan taman rekreasi.
Menurutnya, perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menerima menghadap beliau pada Isnin ini.
"KPKT sudah memulakan program Jelajah Kasih Sayang Malaysia MADANI sejak tiga bulan lalu dengan menyediakan peruntukan RM300 juta.
"Ia antara lain bagi menyelesaikan masalah infrastruktur di setiap negeri, mengikut keperluan," katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Muhibbah KPKT sempena Aidilfitri, di sini hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya di Johor Bahru selepas meninjau keadaan kemudahan itu di sekitar daerah berkenaan yang berlubang dan kurang rapi penjagaannya.
Beberapa jalan yang sering mendapat aduan kementerian itu, kata menteri berkenaan, ialah Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown, Jalan Persimpangan Kampung Dato' Sulaiman dan persimpangan Kampung Majidee.
Sementara itu, Kor Ming memaklumkan, beliau melawat negeri berbeza setiap minggu dan setakat ini sudah mengadakan lawatan ke Pulau Pinang, Kelantan, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan.
Beliau memberi jaminan akan melawat semua negeri tanpa mengira fahaman politik atau negeri bukan ditadbir Kerajaan Perpaduan dengan peruntukan akan disalurkan mengikut keperluan secara adil menerusi penilaian.
"Contoh, walaupun Langkawi berada di bawah parti yang menjadi pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan, kementerian meluluskan peruntukan RM2 juta bagi menaik taraf dua pasar utama, membina tandas baharu dan menaik taraf medan selera," katanya.