Khamis, 11 Mei 2023 | 12:04am
Ketua Penerangan Pemuda BN, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie. - FOTO FAIL NSTP
Ketua Penerangan Pemuda BN, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie. - FOTO FAIL NSTP

Konvensyen jadi medan penyatuan parti Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini Ahad ini, bakal menjadi bukti gabungan 19 parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan mampu duduk semeja berbincang mengangkat agenda rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN), Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, berkata walaupun kerajaan hari ini dibentuk menerusi gabungan parti yang berbeza dari segi ideologi, semuanya berkongsi nilai sama iaitu mencapai kestabilan dalam negara.

Menyangkal dakwaan konvensyen itu diadakan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi, Sollehin sebaliknya berkata, ia adalah medan menyatukan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan supaya terus kekal kuat dan stabil.

"Keutamaan kita sekarang bukan PRN, (tetapi untuk) memastikan kestabilan kerajaan yang ada. Kalau kita nak hadap PRN, mungkin lepas PRN kita bergaduh sebab keputusannya tidak bagus dan akhirnya menimbulkan keretakan kepada kerajaan sedia ada.

"Paling penting adalah konvensyen ini menyatukan perbezaan ideologi untuk duduk bersama, untuk memastikan kerajaan pusat yang ada sekarang ini terus kekal kuat," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara bertajuk 'Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Hala Tuju Malaysia MADANI' terbitan BERNAMA TV, malam ini.

Turut senada, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, yang menyifatkan penganjuran konvensyen itu sebagai petanda positif ke arah memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Rakyat ingin melihat kerajaan yang stabil dan berpadu demi menjaga kestabilan rakyat. Konvensyen ini membuktikan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Tohmahan dan serangan dari pihak lain adalah perkara biasa tetapi yang lebih penting adalah kita bersedia berkhidmat untuk rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Chean Chung berkata, kejayaan penganjuran konvensyen itu bakal membuka lebih banyak ruang kepada penyokong akar umbi parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan memahami mengapa permuafakatan perlu dibina bagi berhadapan cabaran ekonomi dan sosial untuk memastikan Malaysia terus mara ke hadapan.

Konvensyen bertemakan 'MADANI Mewajahi Masa Depan Malaysia' yang julung kali diadakan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim enam bulan lalu, dijangka menghimpunkan lebih 10,000 kepimpinan parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA

Berita Harian X