Rabu, 10 Mei 2023 | 11:51pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, melawat pameran selepas melancarkan ‘GarisMEGA: Biografi Awang Damit Ahmad’ di Galeri Media Prima, Balai Berita, Bangsar, malam ini. Turut sama Awang Damit Ahmad (kiri). - NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, melawat pameran selepas melancarkan ‘GarisMEGA: Biografi Awang Damit Ahmad’ di Galeri Media Prima, Balai Berita, Bangsar, malam ini. Turut sama Awang Damit Ahmad (kiri). - NSTP/AMIRUDIN SAHIB

Biografi tampil sisi peribadi Awang Damit

KUALA LUMPUR: Pelukis prolifik tanah air, Prof Awang Damit Ahmad, mengabadikan perjalanan seninya sepanjang empat dekad dalam seni lukis menerusi naskhah berjudul

'GarisMEGA: Biografi Awang Damit Ahmad'.

Buku berkenaan antara lain merakam kisah kehidupan anak seni kelahiran Kuala Penyu, Sabah itu sejak kecil sehingga menempa nama sebagai antara seniman disegani di negara ini.

Awang Damit, 67, berkata penerbitan karya berkenaan amat istimewa kerana ia membawa pembaca mengenali dirinya secara lebih mendalam, terutama yang menyentuh sisi peribadi.

"Dari sebuah angan-angan, saya cuba melengkapkan diri dengan dunia seni lukis dengan mencari, meneroka dan mengkaji berdasarkan pengalaman serta persekitaran.

"Saya hanya anak seorang petani dan nelayan, jadi kehidupan memang susah namun ia menjadi titik perubahan penting dalam hidup," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pameran Lukisan dan Biografi Awang Damit di Galeri Prima, Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP) di sini, malam ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Effendi Omar; dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Awang Damit turut menzahirkan kesyukuran kerana pameran dan buku biografi yang pertama kali diterbitkan itu dilancarkan bulan ini, beberapa hari selepas ulang tahun kelahirannya pada 3 Mei lalu.

Pada acara sama, naskhah 'ADAlogy-Estetika Timur' yang juga katalog himpunan lukisan pelukis mapan itu turut dilancarkan.

Pameran lukisan 'ADAlogy-Estetika Timur' yang menampilkan 34 karya pelukis itu berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Sabtu ini di Galeri Prima.

Semua karya yang dipamerkan kali ini adalah koleksi peribadi pelukis dan tidak dibuka untuk jualan.

Awang Damit berada dalam kedudukan tiga pelukis teratas di tanah air berdasarkan keputusan lelongan, kekerapan menghasilkan karya, kadar jualan dan prestasinya.

Berita Harian X