Rabu, 10 Mei 2023 | 11:04pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan di Labuan Bajo, Indonesia, hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan di Labuan Bajo, Indonesia, hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar adakan pertemuan dengan empat pemimpin ASEAN

KUALA LUMPUR: Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan pertemuan dengan empat pemimpin ASEAN bagi membincangkan hubungan dan kerjasama dua hala.

Anwar dalam kenyataan di Facebook berkata, beliau menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah dan menyampaikan hasrat melihat pembabitan Bandar Seri Begawan dalam Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) tahun ini yang mana Putrajaya menjadi tuan rumah.

"Selain itu, diskusi juga terarah kepada bidang pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara," katanya.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan menyatakan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Anwar bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perbincangan turut menyentuh mengenai bidang pelaburan selain berharap isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani dengan tegas.

"Dalam sidang kemuncak kali ini juga, saya sempat mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Laos, Sonexay Siphandone dan kami sepakat untuk lebih bekerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur.

Anwar bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

"Arakian, saya juga mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Timor Leste, Taur Matan Ruak dan saya mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN," katanya.

Anwar berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri Timor Leste itu juga menyentuh keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara.

Anwar bersama Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar bersama Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri dan pemimpin ASEAN lain menghadiri sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama kepada perkumpulan serantau tersebut.

Lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN menyertai sidang kemuncak itu kecuali Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang menghadapi pilihan raya pada 14 Mei ini. – BERNAMA

Berita Harian X