KUALA LUMPUR: Ibu bapa kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta keluarganya dan terbabit kemalangan di Langkawi semalam boleh didakwa jika ada unsur kecuaian dalam kejadian itu.
Pakar perundangan, Kitson Foong, berkata Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukan hukuman ke atas individu yang mengabaikan kanak-kanak atau secara cuai mendedahkan mereka sehingga mengakibat kecederaan sama ada berbentuk fizikal atau emosi.
Kanak-kanak terbabit pula tidak boleh didakwa kerana mengikut Seksyen 82 Kanun Keseksaan, mereka yang berusia bawah 10 tahun tidak boleh dituduh di mahkamah.
"Individu yang dimaksudkan itu adalah orang dewasa yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak itu iaitu ibu bapa atau penjaga.
"Polis dibenarkan dan perlu mengambil tindakan terhadap individu berkenaan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Beliau berkata siasatan perlu merangkumi isu sama ada mereka cuai atau turut mengambil peranan aktif seperti mengajar dan membenarkan kanak-kanak berkenaan memandu kenderaan itu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden kemalangan kanak-kanak berusia enam tahun yang membawa Toyota Vios milik keluarganya di Jalan Bukit Tangga di Langkawi malam tadi.
Kanak-kanak lelaki itu memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.
Video kemalangan terbabit tular tengah malam tadi, orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan itu dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Mengulas lanjut Foong berkata tindakan perundangan terhadap ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu perlu diambil sekali gus menyedarkan masyarakat bahawa mereka perlu bertanggungjawab dan mendidik anak masing-masing dengan menunjukkan teladan yang baik.
Polis sudah memanggil ibu bapa budak itu untuk diambil keterangan berkaitan kes berkenaan.