Rabu, 10 Mei 2023 | 5:33pm

Perak harap kajian PSI lebih konkrit, neutral

IPOH: Kerajaan Perak berharap kajian impak Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) oleh Kerajaan Pulau Pinang, dilaksanakan secara lebih konkrit dan dibuat oleh badan bertanggungjawab yang disifatkan 'neutral' iaitu bebas atau tidak memihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berharap tidak ada kumpulan tertentu yang mahu menjadi 'hero' atau mempolitikkan cadangan projek berkenaan, yang dikatakan akan memberi kesan secara tidak langsung kepada Perak khususnya kepada nelayan laut.

"Melalui pembacaan saya, memang projek itu ada pro dan kontra terutama apabila ada sebahagian nelayan menyokongnya sebab dikatakan ia akan memberi kelebihan dari sudut hasil tangkapan yang akan lebih banyak. Ada juga nelayan yang tidak menyokong kerana projek itu akan menyebabkan ikan lari ke tempat lain.

"Jangan ada kumpulan yang nak jadi hero atau mempolitikkan perkara ini. Paling penting, projek itu sudah mendapat kelulusan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) walaupun Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebut ia masih lagi tertakluk kepada kajian selanjutnya.

"Saya yakin kajian itu akan dibuat kerana sudah tentu sebelum projek itu dirancang ia sudah mengambil kira semua berkaitan ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media, yang memetik Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Seri Dr Muhamad Farid Saad, yang menyatakan projek tambakan laut PSI bulan sahaja memberi kesan kepada nelayan Pulau Pinang, malah nelayan di Perak.

Muhammad Farid turut dilapor berkata, pencemaran laut yang terhasil melalui projek tambakan itu akan memberi kesan langsung kepada Perak kerana tanah laut akan diambil dari Perak.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan, kerajaan Pulau Pinang memaklumkan laporan EIA projek itu mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), dengan tambahan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

PSI akan ditadbir oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PIC), membabitkan projek penambakan dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), meliputi kawasan seluas 1,620 hektar di bahagian pantai selatan antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul, Pulau Pinang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan hadiah gerai terbaik kepada Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Aida Hazlyn Hassan, (kanan) sambil diperhatikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman (kiri) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan hadiah gerai terbaik kepada Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Aida Hazlyn Hassan, (kanan) sambil diperhatikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman (kiri) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X