Rabu, 10 Mei 2023 | 4:32pm
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meninjau suasana di ruang perkhidmatan bas dan menunggu penumpang di CIQ BSI dan KSAB, pagi ini. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meninjau suasana di ruang perkhidmatan bas dan menunggu penumpang di CIQ BSI dan KSAB, pagi ini. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI

Perkhidmatan bas, ruang menunggu di CIQ perlu ditambah baik

JOHOR BAHRU: Sistem perkhidmatan bas dan ruang menunggu penumpang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) perlu ditambah baik bagi keselesaan pengguna.

Terus konsisten dengan tinjauan mengejutnya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turun padang awal pagi tadi bagi meninjau keadaan laluan bas di CIQ BSI bersama EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan mendapati keadaan semasa tidak memuaskan.

Orang ramai beratur bagi menaiki bas. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI
Orang ramai beratur bagi menaiki bas. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI

"Laluan motosikal dan kereta semakin baik di CIQ BSI dan KSAB, namun begitu sistem perkhidmatan bas dan ruang menunggu penumpang perlu ditambah baik.

"Antara isu dan cadangan penyelesaian jangka pendek yang dibincang adalah menambah bilangan perkhidmatan bas bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu.

Onn Hafiz meninjau keadaan perkhidmatan bas dan menunggu penumpang di CIQ BSI dan KSAB, pagi ini. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI
Onn Hafiz meninjau keadaan perkhidmatan bas dan menunggu penumpang di CIQ BSI dan KSAB, pagi ini. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI

"Selain itu, sistem perkhidmatan bas perlu ditambah baik, dengan pemasangan kipas industri di ruang menunggu penumpang.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap perkhidmatan bas supaya sentiasa dalam keadaan terbaik dan mematuhi piawaian operasi ditetapkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Suasana di ruang perkhidmatan bas dan menunggu penumpang di CIQ BSI dan KSAB, pagi ini. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI
Suasana di ruang perkhidmatan bas dan menunggu penumpang di CIQ BSI dan KSAB, pagi ini. - Foto Facebook ONN HAFIZ GHAZI

Onn Hafiz berkata, pihak syarikat bas perlu berbincang dan memberi kerjasama kepada pihak JPJ Johor, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan semua yang terbabit bagi menangani isu perkhidmatan bas di laluan sempadan darat di BSI dan KSAB," katanya.

Sebelum ini, beliau melakukan lawatan mengejut ke CIQ di BSI pada 29 Mac lalu, selain dua lagi lawatan susulan pada 5 April dan 19 April bagi melihat sendiri keadaan di bangunan itu selepas mendengar rungutan rakyat yang sering berdepan isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura itu.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Imigresen Johor menghantar kertas cadangan perincian formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat membabitkan Tambak Johor dan Gelang Patah kepada ibu pejabat di Putrajaya, hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata kertas cadangan pertukaran syif itu akan diteliti ibu pejabat sebelum keputusan mengenainya diumumkan.

"Kita tunggu pihak ibu pejabat di Putrajaya teliti, buat keputusan dan umumkan formula baharu pertukaran syif itu sebelum akan dilaksanakan di Tambak Johor dan Gelang Patah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 5 Mac lalu, Jabatan Imigresen dilapor akan melaksanakan formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat membabitkan Tambak Johor dan Gelang Patah bagi memastikan semua kaunternya dibuka ketika waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dilaporkan berkata, pelaksanaan formula baharu amat penting bagi memastikan tiada kesesakan pada waktu puncak berikutan pertukaran syif kakitangan.

Berita Harian X